Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe memanggil empat pemain baharu bagi menggantikan empat pemain yang cedera untuk sesi latihan pusat skuad berkenaan yang akan bermula di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, Ahad ini.

FAM dalam satu kenyataan memaklumkan empat pemain berkenaan adalah pemain Melaka Syahrul Azwari Ibrahim, Shafiq Shaharudin (Kelantan), D. Kenny Pallraj (Perak) dan pemain Kedah, Syawal Nordin.

Mereka menggantikan empat pemain yang disahkan doktor pasukan masing-masing mengalami kecederaan iaitu pemain Negeri Sembilan N. Thanabalan, selain tiga pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) - Ahmad Hazwan Bakri, Aidil Zafuan Abdul Radzak dan La'Vere Corbin-Ong.

Kehadiran empat muka baharu berkenaan melengkapkan senarai 24 pemain yang dipanggil Cheng Hoe untuk sesi latihan pusat skuad kebangsaan, sebelum ini.

FAM memaklumkan kem latihan pusat singkat itu merupakan persiapan skuad kebangsaan yang turut dikenali sebagai skuad Harimau Malaya untuk berdepan Fiji pada aksi persahabatan antarabangsa "A" bertemu Fiji di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 5 Julai ini.

Aksi persahabatan tersebut merupakan perlawanan pemanas badan untuk skuad Harimau Malaya sebelum menghadapi Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2018 pada November ini.

Senarai 24 pelatih:

Penjaga Gol: Ifwat Akmal Chek Kassim (Kedah), Khairul Fahmi Che Mat (Melaka), Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (Perak)

Pertahanan: Adam Nor Azlin (Johor Darul Ta'zim-JDT); Rawilson Batuil (Sabah), Mohd Rizal Ghazali dan Mohamad Syawal Nordin (Kedah), Amirul Azhar Aznan, Nazirul Naim Che Hashim dan Shahrul Mohd Saad (Perak)

Pemain Tengah: Muhammad Akram Mahinan dan Syazwan Zainon (Kedah), Danial Ashraf Abdullah (Kelantan), Syazwan Andik Ishak dan Irfan Zakaria (Kuala Lumpur), Mohd Nasir Basharuddin dan D. Kenny Pallraj (Perak), Wan Zack Haikal Wan Nor (Felda United), Muhammad Nazmi Faiz Mansor (JDT), Syahrul Azwari Ibrahim (Melaka).

Penyerang: Muhd Syafiq Ahmad dan Muhammad Safawi Rasid (JDT), Shafiq Shaharudin (Kelantan), Zaquan Adha Abdul Radzak (Kuala Lumpur).

-- BERNAMA