England mahu menjadi pasukan terbaik di dunia dan kini memiliki pengendali tepat untuk mencapai cita-cita mereka, demikian kata pemain tengah, James Ward-Prowse.

Pasukan bimbingan Gareth Southgate itu menduduki tangga ke-14 dunia dan bergelut dengan rekod buruk dalam pertandingan besar susulan penyingkiran dalam pusingan 16 kepada Iceland dalam kempen Euro 2016, yang ketika itu dikendalikan oleh Roy Hodgson.

Bagaimanapun baru-baru ini, skuad Three Lions itu mencapai beberapa keputusan memberansangkan dalam aksi persahabatan ke atas pasukan gergasi dengan mengalahkan Perancis, Jerman dan juara menanti Euro, Portugal.

Anak buah Southgate bakal menguji juara dunia, Jerman, minggu ini sebelum menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia menentang Lithuania, dan Ward-Prowse berkata pemain-pemain mahu membuktikan mereka mampu menjadi sebuah pasukan terbaik di peringkat global.

"Sudah tentu kami mahu menjadi pasukan terbaik dunia," kata pemain perancang Southampton itu yang dipanggil menyertai skuad senior buat kali pertama.

"Saya tidak sabar untuk mengutip pengalaman daripada pemain-pemain lain.

"Ini sesuatu yang positif sebagai pemain muda apabila anda beraksi dengan baik, anda akan mendapat peluang.

"Gareth Southgate sangat bangga dan berkobar-kobar sebagai orang Inggeris yang mahu melihat kami berjaya. Tiada siapa lagi yang lebih layak.

"Jika kami mahu mencapai cita-cita ini, kami perlu berdepan pasukan hebat dan mengalahkan mereka. Saya sudah bersedia kerana kalau tidak, dia tidak akan menyenaraikan saya."