Jaringan Thomas Meunier dan Eden Hazard memastikan Belgium menang 2-0 ke atas England untuk mendapat tempat ketiga dalam Piala Dunia FIFA Rusia 2018.

Meunier menjaringkan gol pertama Belgium selepas menolak masuk hantaran silang Nacer Chadli seawal minit keempat babak pertama.

Walaupun menguasai permainan, England gagal mencari penyudah dan membuat cubaan yang berbahaya ke arah gawang Belgium yang dikawal Thibaut Courtois.

Tujuh daripada sebelas pemain kesebelasan utama Belgium beraksi di Liga Perdana Inggeris di England sekadar bermain dengan taktik bertahan dan membiarkan England menguasai 59% permainan selepas tamat babak pertama.

Skrip yang sama berulang dalam babak kedua apabila England terus menguasai permainan namun sering menghadapi serangan balas yang pantas Belgium, yang dikemudi Hazard yang beraksi dengan kelab London, Chelsea.

England hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-70 apabila tendangan Eric Dier yang berjaya menewaskan Courtois, bagaimanapun diselamatkan daripada melepasi garisan gol oleh rakan sepasukannya di Tottenham Hotspur, Toby Alderweireld.

Serangan balas Belgium 10 minit sebelum permainan tamat menyaksikan Meunier dinafikan gol keduanya pada perlawanan itu, apabila voli kencangnya hasil hantaran Dries Mertens ditampan penjaga gol England, Jordan Pickford.

Dua minit kemudian, Hazard akhirnya menamatkan perjuangan England dalam usaha mencari gol penyamaan apabila menjaringkan gol kedua Belgium, selepas menerima lorongan bola daripada Kevin De Bruyne.