SELAIN kemenangan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool ke atas Crystal Palace, tujuh perlawanan lain turut berlangsung pada Sabtu.

Arsenal merampas kembali tempat kelima liga daripada Manchester United selepas menewaskan Chelsea, sementara United mencatat kemenangan keenam berturut-turut EPL di bawah pengurus baharu, Ole Gunnar Solskjaer.

Arsenal 2-0 Chelsea

Berlangsung di Stadium Emirates, Arsenal meraih kemenangan 2-0 ke atas Chelsea.

Dua gol dalam babak pertama, jaringan Alexandre Lacazette pada minit ke-14 dan Laurent Koscielny pada minit ke-39 sudah cukup untuk the Gunners mengutip tiga mata penuh.

Malang buat Arsenal apabila pertahanan kanan utama, Hector Bellerin terpaksa diusung keluar padang pada minit ke-71, akibat kecederaan di bahagian lutut.



Manchester United 2-1 Brighton

Jaringan Paul Pogba dan Marcus Rashford dalam babak pertama sudah memadai untuk Manchester United melakar kemenangan keenam berturut-turut dalam saingan EPL di bawah pengendali sementara, Ole Gunnar Solskjaer.

Pascal Gross merapatkan kedudukan dengan jaringan pada minit ke-72 di Old Trafford, namun tuan rumah berjaya bertahan untuk mengutip tiga mata penuh.



Southampton 2-1 Everton

Bukan sahaja United, tetapi Southampton turut mempamerkan kebangkitan selepas mendapat pengurus baharu.

Ralph Hasenhuttl memastikan skuad the Saints melakar kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Everton 2-1.

James Ward-Prowse meledak gol pertama Southampton sebelum pemain Everton, Lucas Digne tersepak bola ke dalam gawangnya sendiri untuk tuan rumah mendahului 2-0.

Everton mendapat gol saguhati pada masa kecederaan menerusi Gylfi Sigurdsson.



Wolverhampton 4-3 Leicester City

Sebelum itu, hat-trick Diogo Jota memastikan Wolverhampton Wanderers melakar kemenangan 4-3 ke atas Leicester CIty.

Beraksi di tempat sendiri, Jota membuka tirai jaringan seawal minit ke-4, sebelum Ryan Bennett menggandakan jaringan di Molineux.

Leicester bangkit dalam babak kedua dengan jaringan Demarai Gray dan Jamie Vardy untuk menyamakan kedudukan, sebelum Conor Coady menjaringkan gol sendiri untuk pelawat mendahului 3-2.

Jota bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan selepas menerima hantaran Ruben Neves sebelum menyudahkan hantaran Raul Jimenez untuk menjaringkan gol kemenangan Wolves.



Newcastle 3-0 Cardiff City

Newcastle United pula berjaya keluar dari zon penyingkiran selepas menewaskan Cardiff City 3-0.

Dua gol daripada Fabian Schar pada minit ke-24 dan 63 memastikan pendahuluan selesa buat skuad tuan rumah, sebelum Ayoze Perez melengkapkan kemenangan 3-0 menerusi sepakan penalti.



Watford 0-0 Burnley

Tiada jaringan terhasil dalam perlawanan Watford menentang Burnley apabila penjaga gol pasukan masing-masing, Tom Heaton dan Ben Foster mempamerkan aksi cemerlang untuk memastikan gawang mereka tidak dibolosi.