PENDAHULU Liga Perdana Inggeris (EPL) Liverpool dimalukan oleh pasukan yang berada di ambang penyingkiran, Watford 3-0 dalam perlawanan awal pagi ini.

Ini merupakan kekalahan pertama Liverpool pada musim ini selepas 28 perlawanan.

Kekalahan itu juga sekali gus memecahkan rekod tanpa kalah paling lama di EPL kerana kali terakhir Liverpool dikalahkan dalam perlawanan liga adalah pada 3 Jan, 2019.

Kemenangan bergaya Watford itu nyata tidak diduga oleh Liverpool yang sepatutnya menyaksikan perlawanan pasti menang kerana The Reds hanya berdepan pasukan yang berada di kedudukan terbawah liga.

Nyata, dua jaringan oleh Ismaila Sarr pada minit ke-54 dan 60, serta Troy Deeney pada minit 72, sudah cukup menyentap ego Liverpool untuk menerima hakikat pasukan itu bukan kebal daripada kekalahan.

Namun, kekalahan itu tidak menggugat kedudukan pasukan itu di persada liga, yang masih mendahului dengan kelebihan 22 mata mengatasi pasukan terdekat Manchester City.