JOSE MOURINHO menegaskan Manchester United tidak lagi berada dalam posisi untuk mendapatkan pemain dari pasukan lawan sewenang-wenangnya kerana wujud persaingan sengit dalam Liga Perdana Inggeris.

Kenyataan tersebut juga secara tidak langsung menyindir gergasi Jerman, Bayern Munich, yang masih mempraktikkan strategi sama.

United sering kali mendapatkan pemain dari pasukan lawan dengan mudah ketika era Sir Alex Ferguson, malangnya Moruinho mengakui senario itu amat sukar dilakukan ketika ini.

"Ini adalah era baru bola sepak. Bukan lagi di era Sir Alex Ferguson, ini bukan bola sepak Jerman," Mourinho memberitahu The Telegraph.

"Di Jerman, Bayern Munich telahpun mengesahkan kemenangan pada awal musim. Setiap tahun, mereka akan mendapatkan pemain dari Borussia Dortmund.

"Satu hari mereka mendapatkan Robert Lewandowski. Setahun selepas itu, mereka mengambil Mario Goetze dan kemudian Mats Hummels pada tahun berikutnya. Jadi, mereka sudah pun mengesahkan kemenangan.

"Kamu rasa saya boleh pergi ke Tottenham dan membawa dua pemain dari sana bagi menamatkan harapan mereka mencabar kejuaraan? Tidak. Saya juga tidak boleh pergi ke Arsenal dan cuba mendapatkan dua pemain terbaik mereka. Zaman itu sudah berakhir.

"Taktik membunuh pasukan lawan dengan mengambil pemain terbaik mereka sudah berakhir. Jika kamu berjaya mendapatkan pemain dari mereka, itu bermakna mereka tidak memerlukan khidmat pemain itu.

"Sudah tentu pasukan seperti Real Madird, Barcelona, Bayern Munich dan Paris Saint-Germain boleh menjual sesiapa sahaja yang mereka mahukan."