Kegagalan Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) mengikut prosedur menyebabkan Majlis Sukan Negara (MSN) tidak dapat menyalurkan peruntukan untuk penganjuran kejohanan Grand Final sesi kelayakan e-sukan Sukan SEA 2019, Sabtu lalu.

Kejohanan yang diadakan di sebuah pusat membeli belah di Shah Alam pada 29 April hingga 4 Mei itu merupakan sesi kelayakan e-sukan bagi memilih wakil negara ke Sukan SEA di Filipina, November ini.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam kenyataan hari ini, berkata pihak ESM hanya mengemukakan permohonan peruntukan bagi kejohanan itu pada 6 Mei, dua hari selepas kejohanan berakhir.

"MSN hanya dapat menyalurkan peruntukan kewangan kepada persatuan sukan sekiranya persatuan sukan dapat memberi justifikasi kewangan beserta dengan pecahan perbelanjaan yang bersesuaian dengan program dilaksanakan," katanya.

Ahmad Shapawi menjelaskan MSN bersetuju menyalurkan peruntukan bagi proses pemilihan atlet peringkat negeri dan kebangsaan sebanyak RM750,000 kepada ESM dalam satu mesyuarat bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada 15 April lepas.

Pada mesyuarat itu, ESM memaklumkan bahawa mereka tidak dapat meneruskan penganjuran kejohanan peringkat kebangsaan kerana tidak mendapat bantuan mencukupi daripada penajaan.

BACA: Penggiat e-sukan masih belum terima sebarang bantuan dari KBS

Bagi mengurangkan kos penganjuran, MSN juga mencadangkan agar diadakan di Gimnasium 2, MSN namun pihak ESM memilih untuk menganjurkan kejohanan itu di Central I-City yang melibatkan kos perbelanjaan lebih tinggi.

"ESM membuat pengumuman mengenai kejohanan pada 23 April, seminggu sebelum kejohanan berlangsung dan menyebabkan beberapa atlet yang terpilih di peringkat negeri tidak dapat hadir pada sesi pemilihan peringkat kebangsaan itu.

"Pihak ESM gagal mengemukakan dokumen untuk memohon peruntukan sehingga tamat kejohanan peringkat kebangsaan," katanya.

BACA: Masyarakat masih keliru antara e-sukan dan permainan video

Justeru, Ahmad Shapawi meminta agar ESM lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan jaringan kerjasama dengan semua pemain industri sukan elektronik.

"Sebagai sebuah badan sukan muda, ESM sepatutnya bersyukur atas usaha kerajaan mengiktiraf sukan mereka sebagai salah sebuah sukan baharu yang agak penting dalam arus pembangunan sukan negara.

"Sebaik mungkin ESM tumpukan perhatian mereka mengenal pasti kumpulan pemain yang mampu menggegar di Sukan SEA 2019 dan menambah baik tadbir urus dalaman persatuan," katanya.

ESM sebelum ini mendedahkan pihaknya masih belum menerima sebarang peruntukan daripada KBS untuk mengadakan sesi kelayakan pemilihan atlet e-sukan ke Sukan SEA 2019 biarpun peruntukan tersebut dijanjikan kepada mereka.

-- BERNAMA