JOACHIM Low enggan menyalahkan pengadil kerana menganugerahkan sepakan penalti yang dipertikaikan terhadap Bastian Schweinsteiger dalam kekalahan separuh akhir Euro 2016 kepada Perancis, awal pagi tadi, di samping percaya pasukannya berhak mara ke final.

Antoine Griezmann adalah wira dalam kemenangan Perancis dengan jaringan berganda di Marseille untuk memuktamadkan kemenangan 2-0 ke atas juara dunia itu.

Namun, ada kontroversi terhadap gol pendahuluan Perancis sejurus sebelum rehat apabila ketua pasukan, Schweinsteiger, dihukum keras kerana terpegang bola dalam kawasan penalti.

Bagaimanapun, ketua jurulatih, Low, tiada hasrat untuk menuding jari kepada pengadil, Nicola Rizzoli, dan menyalahkan keputusan itu kepada “nasib malang” tetapi mempertahankan bahawa Jerman adalah pasukan lebih baik di Stade Velodrome.

“Saya tidak berkata apa-apa mengenai keputusan pengadil, anda perlu menerima apa jua keputusan. Sepakan penalti itu, saya tidak tahu, sebab ada peraturan ini, jika tangan bukan ada pada badan…

"Jika anda lihat bagaimana Bastian mendekati bola, bola itu menyentuh tangannya dalam satu persepuluh saat,” Low memberitahu satu sidang media.

"Pemain itu tidak boleh memikirkan mengenai itu, ia nasib malang. Anda boleh berkata tangannya tidak patut berada di situ tetapi ada pergerakan bila anda melompat dan anda tidak boleh mengawalnya. Saya tidak boleh menyalahkan mana-mana pemain kerana itu.

"Terlalu banyak perkara yang silap tetapi saya perlu memberi pujian kepada pasukan, kami adalah pasukan yang lebih baik.

“Kami memberikan banyak sekali dan ada bahasa tubuh yang menunjukkan kami kuat. Adalah malang kami bolos dengan gol itu, ia nasib malang, bola menyentuh tangannya seminit sebelum tamat separuh masa pertama.

“Kami memiliki peluang kami dan apa yang disesali, kami tidak menjaringkan gol. Kami tidak mendapat tuah yang kami perlukan tetapi pada 2012 (dalam kekalahan separuh akhir Kejohanan Eropah kepada Itali) atau 2010 (dalam kekalahan separuh akhir Piala Dunia kepada Sepanyol), apabila kami tersingkir, pasukan yang mengalahkan kami adalah pasukan yang lebih baik.

"Hari ini ia bukan begitu, kami adalah pasukan yang lebih baik daripada Perancis.”

Jerman ketiadaan beberapa pemain utama untuk pertemuan itu, dengan Sami Khedira dan Mario Gomez cedera, Mats Hummels digantung, manakala Jerome Boateng terpaksa keluar kerana cedera dalam separuh masa kedua.

Low percaya dengan ketiadaan pemain-pemain utama berkenaan, adalah sukar untuk Jerman menangani keadaan.

"Jerome Boateng terpaksa meninggalkan padang dan kami makin lemah selepas itu. Kesemuanya empat pemain yang kami kehilangan tapi pasukan ini melakukan segala-gala yang saya arahkan. Kami beraksi dengan berani, jadi tiada apa-apa yang pemain-pemain boleh dipersalahkan.”