Berita  | Sukan

Ev Ting dijadual berentap di Grand Prix Dunia ONE Lightweight di Singapura

Ev Ting dijadual berentap di Grand Prix Dunia ONE Lightweight di Singapura
Ev Ting dijangka bertemu pemain dari Turki, Saygid Guseyn Arslanaliev di Stadium Tertutup Singapura, untuk saingan suku akhir Grand Prix. - Foto ONE
KUALA LUMPUR: Penantian panjang Ev Ting untuk kembali beraksi di pentas ONE Championship, akhirnya tercapai apabila bekas pencabar Kejuaraan Dunia ONE Lightweight itu dijadualkan bertanding di ONE: CALL TO GREATNESS pada 22 Februari ini.

Pada perlawanan itu, “E.T.” dijangka bertemu pemain dari Turki, Saygid “Dagi” Guseyn Arslanaliev di Stadium Tertutup Singapura, untuk saingan suku akhir Grand Prix Dunia ONE Lightweight.

Apa yang pasti, beliau sudah bersedia untuk menentang lawannya.

“Saygid adalah seorang atlet yang bagus dan serba boleh. Walaupun masih muda, namun, beliau mempunyai rekod tanpa kalah kecuali insiden hilang kelayakan itu.

“Saya tidak sabar untuk bertemu dengan “singa muda” itu pada gelombang pertama Grand Prix.

Namun pada masa yang sama, beliau mengingatkan lawannya untuk bersiap sedia kerana beliau akan memberikan persembahan terbaiknya pada 22 Februari ini, selain berhasrat merebut semula Kejuaraan Dunia ONE Lightweight.
“Perlawanan ini tidak memerlukan pengadil sebaliknya beliau akan diuji dengan getir.

Acara itu merupakan perlawanan pertama beliau di Singapura selepas kalah di tangan Marat Gafurov di ONE: WARRIOR’S QUEST pada Mei 2015.

Selepas hampir empat tahun terkeluar lantaran kekalahan ONE Championship pertamanya, “E.T.” berkata kini beliau adalah atlet yang lebih baik, sama ada di luar mahupun di dalam gelanggang.

“Kekalahan dalam sesuatu perlawanan akan sentiasa menjadi menghalang. Namun, saya bukanlah baharu dalam permainan ini.

“Kejayaan yang ditempa adalah untuk dirai, namun kekalahan mengajar dan menjadikan kita lebih baik pada hari ini,” katanya.

Ungkapan itu bagai mencerminkan kejayaan beliau yang berjaya meraih tujuh kemenangan dalam tempoh tiga tahun.

Ev dijangka merebut kemenangan ke-8 beliau di ONE: CALL TO GREATNESS.

“Saya tidak sabar untuk menantikan perlawanan di Singapura kerana negara itu merupakan tempat asal ONE Championship.

“Ia adalah satu penghormatan untuk membawa persembahan terbaik saya ke sana.

Pada acara malam itu, Ting akan turut mennyaksikan satu lagi perlawanan Grand Prix Dunia ONE Lightweight antara hero tempatan, Amir Khan menentang lawannya dari Costa Rica, Ariel Sexton. 

“Saya pasti akan terpaku menonton perlawanan itu,” akuinya.

Pada Khamis lalu, sebanyak lima perlawanan sudah diumumkan.

Pada acara utama, Juara Dunia ONE Super Series Kickboxing Atomweight, Stamp Fairtex, akan cuba merebut peluang untuk dinobatkan sebagai dua pemegang gelaran Juara Dunia apabila mencabar Janet Todd untuk meraih Kejuaraan Dunia Pertama ONE Super Series Muay Thai Atomweight.

Tidak ketinggalan juga, pertarungan yang akan menyaksikan pertembungan antara dua juara dunia, Nieky “The Natural” Holzken dan Mustapha “Dynamite” Haida dalam pertarungan kickboxing Eropah.

Berikut senarai perlawanan yang sudah diumumkan setakat ini.

Stamp Fairtex VS Janet Todd – Kejuaraan Dunia ONE Super Series Muay Thai Atomweight
Amir Khan VS Ariel Sexton – Suku akhir Grand Prix Dunia ONE Lightweight
Ev Ting VS Saygid Guseyn Arslanaliev – Suku akhir Grand Prix Dunia ONE Lightweight.
Nieky Holzken VS Mustapha Haida – Perlawanan kickboxing lightweight
Rahul Raju VS Ahmed Mujtaba – Perlawanan seni mempertahankan diri campuran lightweight
Kong Sambo VS Zhang Chenglong – Perlawanan kickboxing bantamweight
Rudy Agustian VS Khon Sichan – Perlawanan seni mempertahankan diri campuran flyweight