PRESIDEN Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM), Fadzli Johan, sedia dicabar mana-mana individu yang berminat mengambil alih kerusi panas badan induk itu ketika mereka menunggu lampu hijau Pesuruhjaya Sukan untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).

ISAM sepatutnya mengadakan AGM, Jun lalu, tetapi pemilihan terpaksa ditangguhkan atas faktor masalah laporan kewangan badan induk itu.

Masalah itu mencalar kredibiliti ISAM walaupun berjaya membentuk ramai peluncur muda hingga Julian Yee mencipta sejarah layak ke Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang, Korea Selatan, Februari lalu.

"Sekiranya kami diberikan amanah, saya akan terus berkhidmat dan sekiranya terdapat ahli-ahli lain yang sedia mengambil alih, kami turut menerimanya kerana keutamaan adalah meningkatkan lagi sukan ini," kata Fadzli.

Barisan kepimpinan ISAM berubah pada 2015 dan sejak itu, mereka menempuhi perubahan positif, termasuk menyumbang tiga pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur, tahun lalu.

Walaupun tidak dapat dipastikan mengenai tarikh AGM, ISAM sudah menyediakan pelan untuk memastikan peluncur negara layak ke Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022.

"Terdapat isu yang akan dikemukan untuk diseleraskan dengan sebaik-baiknya. Kami juga akan mengeluarkan notis 15 hari untuk meneruskan AGM yang bakal dijalankan tahun ini."