AKSI pertama pemenang Anugerah Puskas 2016, Faiz Subri, dalam Liga Super berakhir dengan kekalahan 2-0 kepada Selangor, namun pengendali Pulau Pinang, Ashley Westwood, tiada rungutan dengan persembahan anak buahnya itu.

Westwood optimis Faiz mampu memainkan peranan penting buat pasukannya musim ini apabila dia mencapai tahap kecergasan terbaiknya.

Pengendali kelahiran England ini menyifatkan Faiz pemain komited dan kejayaan meraih Anugerah Puskas tidak membuatkannya besar kepala.

"Dia terlepas beberapa sesi latihan, jadi kecergasannya bukan berada di tahap yang saya mahukan tetapi saya tahu dia akan mencapai tahap itu kerana dia seorang pemain yang bagus.

"Saya juga sedar dia tidak akan bertahan selama 90 minit tetapi secara keseluruhan saya berpuas hati dengan aksinya," jelas Westwood.

Dalam pada itu, Faiz yang ditemui mengakui berasa sedikit tekanan buat dirinya untuk aksi pertama bersama Pulau Pinang selepas pulang dari menghadiri Anugerah FIFA di Zurich, 9 Januari lalu.

Namun, kekalahan di tangan Selangor pada Sabtu tidak melunturkan semangatnya dan yakin dia dan rakan sepasukan mampu meningkat selepas ini.

"Tekanan itu sentiasa ada tetapi kami sudah lakukan yang terbaik. Kami akan kembali pada Jumaat untuk memberikan yang lebih baik," kata Faiz.