Berita  | Sukan

FAM rangka aksi berkualiti buat Harimau Malaya

FAM rangka aksi berkualiti buat Harimau Malaya
YUSOFF: Kejohanan itu akan diadakan pada waktu kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sekali gus memberi peluang kepada setiap pasukan untuk mengutip mata bagi memperbaiki ranking.
TIMBALAN Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, mengesahkan badan induk itu merancang untuk menganjurkan kejohanan empat negara pada Mac depan sebagai medan terbaik buat Harimau Malaya melonjakkan kedudukan mereka ke ranking lebih baik menjelang kelayakan Piala Dunia 2022 pertengahan tahun nanti.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM yang diadakan di Wisma FAM, Selasa lalu.

Menurut Yusoff, kejohanan itu akan diadakan pada waktu kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sekali gus memberi peluang kepada setiap pasukan untuk mengutip mata bagi memperbaiki ranking.
Untuk rekod, Malaysia ketika ini menghuni ranking ke-167 dunia, jauh lebih rendah berbanding Myanmar, Indonesia mahupun Singapura.

"FAM mempunyai dua pilihan pada Mac ini. Pilihan yang pertama, dengan menganjurkan kejohanan jemputan membabitkan tiga negara luar yang agak baik.

"FAM berhasrat dapat melaksanakan hajat untuk memberi pendedahan kepada pemain untuk beraksi di tahap yang lebih tinggi," terang Yusoff.

Difahamkan, FAM masih menunggu jawapan daripada pasukan yang dijemput untuk menyertai kejohanan itu nanti.

Selain pasukan dari Asia Tenggara, badan induk itu juga membuat jemputan kepada dua pasukan dari Asia Barat, dua pasukan dari Asia Timur dan sebuah pasukan dari Oceania dengan semua pasukan terbabit berada di ranking lebih tinggi daripada Malaysia.

"Sekiranya pilihan pertama tidak berlaku, barulah kami akan menggunakan pilihan kedua.

"FAM bercadang akan menghantar skuad negara untuk beraksi dengan pasukan dari negara Timur Tengah dengan harapan pemain Malaysia mendapat pendedahan beraksi dengan pasukan yang lebih tinggi tahapnya," katanya lagi.

Untuk lebih banyak lagi berita sukan dan video, klik di sini


Tag: malaysia, ranking dunia, bola sepak, FAM, persatuan bola sepak malaysia, datuk wira mohd yusoff mahadi


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.