Setiausaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin menerangkan FAM akan melaksanakan cadangan itu sekiranya ia mampu meningkatkan prestasi skuad negara serta memperbaiki ranking Harimau Malaya ketika ini.

Menurut laporan Utusan Malaysia, FAM menyokong idea tersebut setelah pengendali Harimau Malaya Dollah Salleh mengemukakan cadangan itu selepas pasukan Pilihan Malaysia mencatat keputusan seri 1-1 menentang Liverpool di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat lepas.

Walaubagaimanapun, Hamidin menegaskan bahawa kerajaan yang mempunyai kuasa untuk memberikan kerakyatan kepada pemain naturalisasi ini sebelum dibenarkan untuk menyarung jersi kebangsaan.

Ketika ini, FAM menggunakan pendekatan membawa masuk beberapa pemain yang mempunyai pertalian dengan Malaysia.

Antaranya, Brendan Gan, Junior Eldstal dan terbaru Matthew Davies yang kini beraksi bersama Pahang.

Ketika aksi menentang Liverpool, kehadiran pemain import ternyata membawa impak besar dari aspek serangan dan pertahanan.

Gandingan Thiago Junior dan Vicent Bikana di bahagian pertahanan kelihatan cukup ampuh dan sering menggagalkan percubaan The Reds.

Jiran Singapura dan Jepun sebelum ini telah pun mempraktikan strategi sama.

Jepun telah menggunakan khidmat pemain kelahiran Brazil menerusi Nelson Yoshimura (1967-1980), George Yonashiro (1985), Ruy Ramos (1990-1995), Wagner Lopes (1997-1999) dan Alex (2002-2006).

Juara Piala Dunia 2010 Sepanyol juga tidak terkecuali menggunakan pemain naturalisasi seperti Marcos Senna dan Diego Costa dimana keduanya berasal dari Brazil.