Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersetuju memanjangkan tempoh penswastaan kelab kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), sehingga Jumaat ini (25 Sept).

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah memberi lampu hijau kepada FAM, untuk mengecualikan pasukan Kedah daripada menyelesaikan proses penswastaan kelab, yang sepatutnya berakhir 31 Ogos lepas.

Ia susulan negeri berkenaan masih terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran sejak Jumaat lepas, bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Stuart bagaimanapun menegaskan keperluan menambah tempoh lanjutan kepada KFA, sekiranya perlu selepas tempoh sedia ada tamat, bergantung kepada kelulusan AFC.

"Kita memahami pelaksanaan PKPD memberi kesan kepada KFA untuk menyerahkan dokumen-dokumen terlibat kepada FAM, dan AFC peka dan faham dengan situasi yang melanda Kedah ketika ini," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Noor yang juga Presiden KFA, sebelum ini mengesahkan bahawa mereka telah menghantar permohonan kepada FAM agar diberikan lanjutan tempoh proses penswastaan kelab.

Muhammad Sanusi memaklumkan bahawa semua proses berkenaan kini hampir 98 peratus selesai, dan yang tinggal hanya untuk melunaskan bayaran tertunggak mencecah RM10.6 juta, meliputi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan tunggakan gaji kepada pemain.

Dalam pada itu Stuart menegaskan, kesemua pasukan dan kelab Liga Malaysia (Liga-M) perlu memastikan proses pemisahan status daripada Persatuan Bola Sepak (FA) kepada Kelab Bola Sepak (FC),diselesaikan sebelum 30 Sept ini, atau berdepan penyingkiran ke liga bawahan termasuk Liga M3.

Setakat ini, katanya hanya tujuh pasukan Liga-M yang sudah melengkapkan proses pemisahan status daripada FA kepada FC.

-- BERNAMA