Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersetuju dengan tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang mengarahkan pasukan Pahang dipotong enam mata setelah badan induk dunia itu meneliti proses pengadilan bekas pemain import Pahang, Mohamed Borji yang ditamatkan kontrak secara tidak sah pada 2013.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan keputusan yang dibuat oleh Forum Penyelesaian Pertikaian FIFA itu diputuskan selepas mereka melakukan siasatan menyeluruh terhadap semua dokumen sokongan daripada pemain kelahiran Maghribi itu dan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).

Beliau berkata kes Borji dan hukuman yang dikenakan ke atas PBNP turut dibentangkan kepada Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika baginda mempengerusikan Mesyuarat Exco badan induk itu, di sini, Selasa lepas.

"Tengku Abdullah sendiri dan semua ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM bersetuju dengan keputusan tersebut selepas melihat proses perjalanan kes ini. FAM juga sudah menghantar surat rasmi mengenai hukuman FIFA ini kepada PBNP, petang semalam," jelas Hamidin.

Pada masa yang sama, beliau turut menafikan kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif Pahang FC Sdn Bhd, Fahrizal Hassan, baru-baru ini yang mendakwa badan induk itu gagal menyerahkan borang C-06, iaitu persetujuan penamatan kontrak, kepada FIFA.

Hamidin menegaskan segala dokumen sokongan termasuk borang C-06 bertarikh 1 April 2013 yang diserahkan PBNP kepada FAM sudah dihantar kepada FIFA pada 14 Mei 2013.

Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah pada Selasa mengumumkan Pahang dipotong enam mata daripada Liga Super selepas PBNP gagal melunaskan bayaran gaji dan pampasan kepada Borji yang ditamatkan kontrak secara tidak sah.

Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan Pahang turun satu anak tangga ke tangga ketiga dengan pungutan 38 mata, manakala Selangor yang menduduki tangga ketiga (39 mata), diberikan gelaran naib juara Liga Super di belakang Johor Darul Ta'zim.

Susulan keputusan berkenaan, Selangor ditawarkan slot ke saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi menggantikan tempat Pahang yang dilucutkan gelaran naib juara Liga Super.

Penolong Setiausaha Agung (Antarabangsa) FAM, Lazarus Jansen Xavier dilaporkan sebagai berkata bahawa Pahang berdepan tindakan diturunkan ke saingan Liga Perdana, musim depan sekiranya mereka masih gagal menjelaskan tunggakan gaji dan pampasan berjumlah RM526,000 kepada Mohamed Borji.

Kes berkenaan bermula apabila Borji menghantar surat kepada FAM pada 25 April 2013 tentang aduannya terhadap PBNP sebelum FAM menghantar surat kepada PBNP, sehari kemudian bagi meminta penjelasan berhubung tuntutan Borji.

PBNP menjawab surat mengenai tuntutan Borji itu pada 14 Mei 2013 bersama-sama dokumen sokongan termasuk Borang C-06 sebelum FAM memanjangkan kes berkenaan kepada FIFA.

Pada 31 Oktober 2014, FAM telah memajukan surat keputusan DRC FIFA kepada PBNP yang mengarahkan mereka membayar tunggakan gaji sebanyak RM192,195 (yuran tandatangan, gaji Disember 2012 dan baki gaji dari Januari hingga Mac 2013) dan pampasan melanggar kontrak berjumlah RM341,680 iaitu gaji dari April 2013 hingga November 2013.

Kegagalan PBNP untuk menjelaskan bayaran gaji dan pampasan kepada Borji memaksa FIFA mengarahkan FAM untuk memotong enam mata daripada Pahang untuk saingan liga domestik iaitu Liga Super.