Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menepis dakwaan kononnya skuad Harimau Malaya dieksploitasi untuk meraih keuntungan pada kejohanan Piala Airmarine 2019 yang akan membuka tirainya hari ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan pada Selasa berkata skuad bola sepak negara adalah produk utama badan induk yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus tadbir sukan itu.

Katanya, dari sudut pemasaran dan komersial FAM perlu memaksimumkan nilai pasukan untuk menjana pendapatan selain mencari sumber kewangan untuk disalurkan semula ke dalam bentuk pembangunan skuad negara melibatkan pelbagai peringkat umur.

"Sebagai badan induk yang berdepan masalah kewangan terhad, FAM mengalu-alukan tawaran pihak ketiga seperti ProEvents menganjurkan kejohanan sebegini.

"Mereka (ProEvents) sebagai promoter kejohanan telah mengambil risiko dengan mencari sumber tajaan sendiri dan menanggung kos operasi penganjuran membawa masuk tiga negara ke Kuala Lumpur.

"Harga jualan tiket yang telah ditetapkan itu adalah bagi menampung kos-kos yang berkaitan. Sebelum ProEvents meraih apa-apa keuntungan, mereka perlu menampung terlebih dahulu kos yang telah dibelanjakan bagi menjayakan kejohanan ini," katanya seperti dipetik dalam kenyataan itu.

Terdahulu, Ultras Malaya yang merupakan kumpulan penyokong setia skuad kebangsaan menerusi akaun Twitter mereka pada Selasa menyatakan pendirian untuk memboikot kejohanan itu selepas mendakwa harga tiket yang ditetapkan berjumlah RM35 sebagai memenuhi kantung pihak-pihak tertentu.

Mengulas lanjut, Stuart berkata FAM menerima RM300,000 daripada ProEvents sebagai yuran penganjuran dan ia akan digunakan untuk membiayai kos operasi dan bonus pasukan sebelum disalurkan kepada pihak pengurusan pasukan-pasukan kebangsaan di bawah FAM.

Justeru, Stuart menggesa penyokong bola sepak tanah air hadir ke stadium bagi memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada skuad kebangsaan yang menjadikan kejohanan itu sebagai medan meraih seberapa banyak pendedahan dan mata untuk memperbaiki ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"FAM menerima tawaran ProEvents untuk menganjurkan kejohanan ini dengan harapan Harimau Malaya mencatat keputusan baik demi memastikan pasukan negara tergolong dalam kelompok 34 negara teratas di Asia bagi mengelak 'play-off' untuk kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

"Atas semangat ini, FAM tetap berharap supaya semua penyokong Harimau Malaya hadir memberikan sokongan kepada skuad kendalian Tan Cheng Hoe. Sokongan anda diperlukan dalam membantu pemain menjiwai misi yang boleh mencerahkan harapan pasukan kebangsaan," kata beliau.

Malaysia akan memulakan kempen Piala Airmarine 2019 berdepan Singapura pada aksi separuh akhir manakala satu lagi aksi menyaksikan Oman menentang Afghanistan. Kedua-dua perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

-- BERNAMA