PELUMBA muda kebangsaan, Fariz Haikal Mohd Kadir, optimis mampu menampilkan aksi terbaik menjelang Kejohanan Berbasikal Asia di Korea Selatan, minggu depan.

Dia baru menerima perkhabaran untuk menggantikan tonggak utama trio pecut berbasikal trek berpasukan negara, Azizulhasni Awang, dalam saingan di Korea Selatan itu akibat kecederaan retak jari tangan.

Bagaimanapun, pelumba berusia 18 tahun itu yakin dia mampu menampilkan aksi terbaik walaupun berdepan tempoh persiapan yang singkat sambil sedar tekanan mengisi kekosongan yang ditinggalkan pelumba senior dengan gelaran 'The Pocket Rocketman' itu.

"Persiapan ketika ini banyak melibatkan aksi sepusingan dalam acara pecut berpasukan.

"Tekanan tidak terlalu serius tetapi saya tetap memotivasikan diri serta yakin mampu melakukannya. Ia mencabar kerana ini kali pertama saya menyertai skuad elit kebangsaan."

BACA: ACC: Azizulhasni tarik diri dalam acara berpasukan