Peninju profesional negara, Muhammad Farkhan Mohd Haron, menjuarai kategori 'light heavyweight' Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor (JIBC) 2017, selepas menumbangkan peninju dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Kaseba, malam tadi.

Anak kepada bekas peninju negara, Allahyarham Mohd Haron Ismail itu menewaskan Kaseba, dengan pukulan TKO pada minit kedua pusingan keempat, meski pun diasak keras pada pusingan pertama dan kedua.

Acara yang julung kali diadakan itu disaksikan lebih 3,000 penyokong yang hadir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini untuk memberi sokongan kepada peninju negara itu.

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyaksikan pertandingan itu dan menyampaikan tali pinggang Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia kategori Light Heavyweight kepada Muhammad Farkhan.

Baginda merupakan Penaung Diraja bagi Persatuan Tinju Johor dan tulang belakang kepada kejayaan yang diraih Muhammad Farkhan.

Muhammad Farkhan berkata kemenangan itu adalah pencapaian baharu dirinya dengan memenangi dua tali pinggang bagi dua kategori berbeza apabila dia menjuarai kategori 'cruiserweight' WBC Asia di Far East Square, Singapura, pada Julai tahun lalu.

Ini menjadikannya satu-satunya peninju negara yang memenangi dua tali pinggang bagi dua kategori berat berbeza iaitu 'cruiserweight' dan 'light heavyweight'.

-- BERNAMA