JUARA Terbuka Australia, Roger Federer tidak akan beraksi di Terbuka Perancis bagi mengekalkan tahap kecergasannya untuk beraksi di Wimbledon.

Federer mengharungi prestasi cemerlang musim ini, menjuarai gelaran di Melbourne, sebelum menambah kejuaraan ATP Masters 1000 di Indian Wells dan Miami.

Bagaimanapun, pemain tenis Switzerland itu dilihat tidak beraksi di gelanggang tanah liat sepanjang musim ini, mengakui dia memberikan fokus kepada kejohanan gelanggang rumput selepas kecederaan lutut dan belakang menghantuinya pada 2016.

Kini Federer mengambil keputusan untuk memberikan tumpuan untuk kejohanan di gelanggang keras serta rumput sepanjang musim ini.

"Saya telah bekerja keras, di dalam dan luar gelanggang. Saya berasakan ia merupakan keputusan untuk tidak beraksi di gelanggang tanah liat musim ini dan memberikan fokus bagi kejohanan-kejohanan lain," kata Federer.

Keputusan Federer sedikit sebanyak membantu prestasi Rafael Nadal yang semakin meningkat. Juara Roland Garros sembilan kali itu telah meraih kemenangan di Barcelona, Monte Carlo dan Madrid.