Berita  | Sukan

FIFA 18: "Kandas separuh akhir, memang tak membanggakan" - AmTuah

FIFA 18: "Kandas separuh akhir, memang tak membanggakan" - AmTuah
Amirul 'AmTuah' Afandi (kanan) dan Muhammad Luqman Haziq 'Fenrir' Hajiman sebelum ini masing-masing menjuarai peringkat kumpulan dalam AFGC. - Foto Gamesbond
KUALA LUMPUR: Pemain profesional e-sukan FIFA 18,  Amirul 'AmTuah' Afandi menyifatkan mutu persembahannya dalam Kejohanan Permainan Video Bola Sepak Asia (AFGC) baru-baru ini, bukanlah satu perkara yang membanggakan selepas tewas di peringkat separuh akhir.

AmTuah berkata kekalahan tersebut amat memeritkan baginya apabila dia terkandas buat dua tahun berturut-turut dalam kejohanan itu di peringkat yang sama.

“Secara keseluruhan, ia bukanlah satu prestasi yang membanggakan kerana saya tahu sebenarnya saya boleh mencapai keputusan yang lebih baik lagi.
“Mungkin selepas ini saya perlu menjalani latihan mental yang lebih kukuh memandangkan kalau dilihat perbandingan skil teknikal dengan pemain Asia lain tidak jauh bezanya.

“Walau bagaimanapun, saya mohon maaf kerana tidak dapat membawa pulang trofi kejuaraan ini,” jelas AmTuah ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

Dalam pertandingan separuh akhir AFGC tersebut, AmTuah tewas di tangan pemain Singapura, Syamil Sabirin 2-0.

Tidak mahu lagi menoleh ke belakang, AmTuah yang merupakan juara Virtuelle Bundesliga Asia Tenggara itu berhasrat untuk mengadakan lebih banyak perlawanan persahabatan pada masa akan datang, bersama pemain-pemain FIFA 18 di rantau ini bagi memperbaiki mutu persembahannya.

 

Sementara itu, seorang lagi wakil Malaysia, Muhammad Luqman Haziq ‘Fenrir’ Hajiman turut terkandas di pusingan separuh akhir apabila terpaksa akur dengan kekalahan menerusi sepakan penalti kepada jaguh Jepun, Subaru Sugano.

“Mungkin saya kalah dari segi pengalaman memandangkan Subaru sudah berada dalam arena profesional e-sukan ini selama tujuh tahun.

“Walaupun kejohanan itu juga mengalami beberapa isu teknikal, saya percaya saya sudah memberikan yang terbaik. Rezeki kemenangan untuk kejohanan itu belum lagi sampai untuk saya,” katanya kepada Astro AWANI.

AFGC yang berlangsung di Marina Square, Singapura itu menyaksikan finalis Piala e-Dunia FIFA (FIWC) pada 2015 dan 2017, Subaru muncul juara selepas mengalahkan pemain tuan rumah Syamil 2-1 pada final.

Kejohanan yang dianjur Persatuan Permainan Video Atas Talian dan Sukan Siber Singapura (SCOGA) itu mengumpulkan 24 pemain terbaik FIFA 18 daripada 13 negara Asia dan menawarkan hadiah wang terkumpul sebanyak RM10,000.