INDONESIA kembali dalam medan persaingan bola sepak dunia apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menamatkan penggantungan terhadap bola sepak negara itu, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI).

Penamatan penggantungan itu dibuat dalam acara Kongres FIFA ke-66 di Mexico City, pada Jumaat.

Presiden FIFA, Gianni Infantino mengesahkan keputusan itu dibuat setelah pihaknya menerima surat dari pemerintah Indonesia yang menjelaskan bahawa mereka sudah menarik balik larangan atau pembekuan aktiviti badan bola sepak kebangsaan republik itu.

Pada 17 April 2015, pemerintah Indonesia melalui Kementerian Belia dan Sukan negara itu menjatuhkan hukuman kepada PSSI, dan sejak itu semua aktiviti PSSI tidak diakui.

Dalam kongres yang sama, FIFA mengesahkan telah menggantung Kuwait dan Benin.

Infantino berkata, keputusan itu dibuat kerana FIFA perlu melindungi kepentingan persatuan daripada penglibatan kerajaan.

Persatuan Bola Sepak Kuwait (KFA) digantung pada Oktober lalu selepas adanya penglibatan kerajaan dalam urusan persatuan itu.