Kedah dinobatkan juara Piala FA Malaysia pada Sabtu, namun aksi final FA Indonesia atau digelar sebagai Piala Indonesia yang dijadualkan semalam, terpaksa ditunda berikutan kebimbangan tahap keselamatan perlawanan akhir kedua itu.

Final kedua Piala Indonesia, yang menggunakan format Piala FA itu antara pasukan Persija Jakarta dan PSM Makassar, sepatutnya berlangsung 3 petang waktu Indonesia Barat semalam di Stadium Mattoangin, Makassar.

Pasukan Persija yang memenangi perlawanan akhir pertama dengan jaringan 1-0 pada 21 Julai lepas di Jakarta, enggan ke Stadium Andi Mattalatta, Mattoangin, Makassar atas faktor keselamatan.

Bas yang dinaiki pemain pasukan itu dilempar batu dan objek keras, manakala dalam sesi latihan mereka sehari sebelum itu, bas yang dinaiki pasukan itu juga dilempar batu dan objek keras ketika menjalani latihan di stadium berkenaan.

Menurut media tempatan, berikutan insiden semasa sesi latihan pasukan Persija itu, Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) memutuskan aksi akhir kedua itu dilangsungkan tanpa penonton.

Aksi final kemudian ditangguhkan kepada pukul 3.30 petang semalam, sebelum Setiausaha Agung PSSI, Ratu Tisha Destria memutuskan aksi final kedua itu ditangguhkan kepada tarikh yang belum ditetapkan.

Sehingga petang ini, PSSI belum mengumumkan jadual baharu aksi final kedua itu.

Piala Indonesia 2018-2019 itu ditandingi 128 pasukan dari Liga 1, 2 dan 3, menerusi format kalah mati.