CHELSEA mengumumkan Frank Lampard, sebagai pengurus baru kelab itu, selepas dia menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama kelab itu.

Lampard, 41 tahun meninggalkan kelab Championship, Derby County untuk kembali semula ke Stamford Bridge, dimana dia berkhidmat selama 13 tahun sebagai pemain.

“Saya amat bangga untuk kembali ke Chelsea sebagai ketua jurulatih. Semua orang tahu saya sayangkan kelab ini dan pelbagai sejarah kami kongsi bersama.

“Bagaimanapun fokus saya adalah kepada tanggungjawab dan persediaan untuk musim akan datang.

“Saya di sini untuk bekerja keras, membawa lebih banyak kejayaan kepada kelab dan saya tidak sabar untuk memulakan tugas,” kata Lampard kepada Chelsea TV.

Lampard menggantikan Maurizio Sarri yang meninggalkan Stamford Bridge pada Jun, untuk menjadi pengendali kelab juara Itali, Juventus.

Cabaran Lampard kini ialah menguruskan kelab yang digantung selama dua musim daripada membeli pemain baru, satu perkara yang gemar dilakukan kelab itu sejak dibawah pemilikan Roman Abramovich 16 tahun lalu.

Chelsea bagaimanapun sudahpun mendaftarkan pemain yang dipinjam dari Real Madrid, Mateo Kovacic dari Real Madrid musim lepas sebelum digantung FIFA pada Februari.

Selain itu, the Blues juga menandatangani pemain Borussia Dortmund, Christian Pulisic pada Januari 2019, yang dipinjamkan semula selama enam bulan kepada kelab Jerman itu.

Pelantikan ini adalah sembilan hari selepas Derby membenarkan Lampard untuk mengadakan perbincangan dengan Chelsea.

Pembantu Lampard di Derby, Jody Morris dan jurulatih pasukan utama, Chris Jones turut menyertai Lampard di Stamford Bridge, sementara bekas rakan pasukan, Petr Cech sudahpun dilantik sebagai penasihat teknikal bulan lepas.

Baca: Frank Lampard akan kembali ke Chelsea

Kerjaya Lampard sebagai pemain bola sepak profesional

Frank Lampard menyertai Chelsea dari West Ham dengan bayaran perpindahan £11 juta pada 2001.

Bekas pemain antarabangsa England ini membuat 648 penampilan untuk Chelsea, memenangi 11 trofi utama bersama the Blues.

Lampard memainkan peranan yang besar menamatkan kemarau 50 tahun tanpa gelaran utama liga Inggeris pada musim 2004/05 dengan menjaringkan 13 gol termasuk dua gol menentang Bolton yang mengesahkan gelaran milik the Blues.

Dia memenangi tiga gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), empat Piala FA, dua Piala Liga, satu gelaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan Liga Europa.

Lampard meninggalkan Stamford Bridge pada Jun 2014 dan membuat penampilan singkat unutk Manchester City, di mana dia menjaringkan enam gol dalam 32 permainan.

Dia kemudian berhijrah ke Amerika Syarikat untuk beraksi dengan New York City dalam Major League Soccer (MLS) pada 2015, sebelum menamatkan kerjaya sebagai pemain profesional pada 2017.

Bagi skuad kebangsaan England, Lampard memenangi 106 caps selepas membuat penampilan pertama pada 1999 dengan 29 gol untuk skuad the Three Lions.

Risiko untuk Chelsea?

Penganalisis berpendapat pemilihan Lampard satu risiko tinggi yang diambil kelab itu kerana kurang pengalaman.

Namun risiko itu adalah rendah kerana pada masa sama, Chelsea digantung daripada membeli pemain baru selama dua musim.

Rekod Lampard di Derby tidak begitu memberangsangkan memandangkan hanya mendapat 42.9% kemenangan daripada 49 perlawanan.

Secara keseluruhan, Derby di bawah kendalian Lampard hanya mencatat 42.1% kemenangan daripada 57 perlawanan, dengan 70 gol membolosi gawang.