BERITA mengecewakan muncul daripada kem badminton negara apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan bahawa Datuk Wira Lee Chong Wei mengalami kecederaan lutut.

Difahamkan, Chong Wei mengalami kecederaan sewaktu latihan pusat pada Sabtu, sekaligus bakal merencatkan penyertaan kejohanan pada Mac, termasuk Seluruh England.

Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost mengesahkan jaguh perseorangan negara itu mengalami kecederaan ketika sesi latihan.

"Kami tidak tahu secara terperinci mengenai tahap kecederaannya tetapi secara jujurnya ia tidak nampak begitu bagus," katanya.

Bagaimanapun, Frost menggesa agar menunggu sehingga keputusan pemeriksaan dijalankan sebelum membuat sebarang spekulasi.

"Dia terjatuh dan memberi kesan terhadap lutut dan ada kemungkinan ligamennya mengalami kecederaan sedikit.

"Kadang kala selepas pemeriksaan kecederaan tersebut mungkin tidak seteruk yang disangkakan. Jadi, saya menyarankan agar tidak membuat sebarang spekulasi ketika ini," tambahnya.