Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen meminta semua pemain kebangsaan menumpukan perhatian sepenuh terhadap soal mempertingkatkan tahap kecergasan masing-masing.

Beliau berkata kecergasan merupakan faktor utama bagi memastikan barisan pemain dapat menampilkan prestasi konsisten di setiap kejohanan.

Justeru, katanya, Institut Sukan Negara (ISN) mempunyai kepakaran dan kemudahan untuk membantu pemain memperbaiki tahap kecergasan.

"Saya memang serius mengenai soal kecergasan...kami mahu memastikan keberkesanan prestasi pemain dan kecergasan boleh membantu pemain memperbaiki permainan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemain mengikuti sesi kecergasan di ISN di sini hari ini.

Sebelum ini, Frost berkata beberapa pemain jelas mempunyai tahap kecergasan yang rendah dan mengarahkan mereka menjalani latihan kecergasan di ISN.