PENYERANG Manchester City, Gabriel Jesus, perlu berehat sehingga enam minggu gara-gara kecederaan lutut, kata pengurus Pep Guardiola.

Pemain antarabangsa Brazil itu mengalami kerosakan ligamen lutut ketika seri 0-0 dengan Crystal Palace, hujung minggu lalu.

Jesus meninggalkan padang dalam keadaan menahan sakit sebelum mengesahkan melalui laman sosial, Instagram, bahawa masalah itu tidak begitu buruk dan dia tidak memerlukan pembedahan.

Guardiola menganggarkan pemain berusia 20 tahun itu akan kembali kurang dalam tempoh sebulan, sekaligus berpeluang untuk diturunkan menentang Basel, 13 Februari nanti.

"Dia akan diketepikan selama empat hingga enam minggu atau mungkin lebih lama, tetapi saya mengharapkan (dia akan kembali) secepat mungkin," ujar Guardiola dalam sidang akhbar selepas kemenangan 3-1 City ke atas Watford dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.

City kembali di landasan kemenangan selepas mudah membenam Watford. Gol yang dicetak Raheem Sterling, Sergio Aguero dan gol sendiri Cristian Kabasele memastikan mereka dalam kawalan sebelum gol lewat Andre Gray.

David Silva membuat penampilan pertamanya sejak kemenangan 4-0 ke atas Bournemouth pada 23 Disember lalu -- bintang Sepanyol itu diberi kelonggaran kerana alasan peribadi.

Guardiola mencadangkan pemain berusia 31 tahun itu mungkin terlepas beberapa perlawanan lagi jika dia perlu kembali ke tanah airnya, di mana dia menghabiskan perayaan Krismas di sana.

"Kami sangat gembira David kembali," katanya. "Kami tidak tahu berapa lama (dia akan bersama kami) namun dia telah turun dan menunjukkan betapa penting khidmatnya buat kami kita.

"Dia bebas untuk tinggal atau pergi, terserah kepadanya. Dia mahu beraksi kerana dia menikmati perlawanan tetapi keluarga adalah perkara yang paling penting dalam kehidupan.

"Tidak mengapa jika kami kehilangan banyak mata -- saya tidak pernah mendesaknya, beberapa hari dia akan berada di sini, ada masanya dia akan kembali ke Sepanyol, bergantung kepada bagaimana keadaan keluarganya."