Tutup

Berita  | Sukan

Gagal ke Olimpik Tokyo: Salah siapa?

Gagal ke Olimpik Tokyo: Salah siapa?
Adakah Malaysia memiliki skuad bawah 16, 18 dan pembangunan seperti India atau gergasi Eropah?
PERMAINAN menuding jari bermula sebaik saja Malaysia tewas 2-5 kepada Great Britain pada aksi kedua play-off kelayakan Sukan Olimpik untuk agregat 3-9 di Pusat Tenis dan Hoki Lee Valley, London, England.

Sama ada mendesak Ketua Jurulatih, Roelant Oltmans, letak jawatan, pemain senior bersara atau barisan pegawai Konfederasi Hoki Malaysia diketuai Presiden, Datuk Seri Subahan Kamal meninggalkan badan induk itu.

Memang mudah untuk menuding jari tetapi kita perlu lihat kepada perkara asas.

Adakah Malaysia sebuah negara hoki?
Adakah sistem yang ada di negara kita membantu melahirkan ratusan pemain muda berbakat setahun untuk disalurkan ke skuad senior kebangsaan?

Nilai kembali faktor akar umbi, berapa banyak padang hoki yang ada di Malaysia? 100?
England yang jadi sebahagian daripada Great Britain saja memiliki lebih 1000 padang hoki.

Adakah pelajar sekolah mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih berkelayakan? Jangan salahkan guru kerana ramai yang sanggup berkorban menggunakan wang sendiri walaupun tugas utama mereka mengajar di kelas.

Berapa banyak kelab menyertai Liga Hoki Malaysia?

Berapa lama LHM? Tiga bulan?

Bagaimana dengan program pembangunan? Adakah Malaysia memiliki skuad bawah 16, 18 dan pembangunan seperti India atau gergasi Eropah?

Hasil daripada gabungan ini, itulah wajah skuad senior lelaki dan wanita kebangsaan.

Apa yang kita lihat sejak hampir sedekad lalu lebih mirip kepada mee segera dengan melantik jurulatih luar negara dibantu pakar perunding seperti Micheal McCann, Martijn Drijver dan Taeke Takema untuk jangka masa pendek.

Malah, Oltmans disyaratkan membawa Malaysia ke Sukan Olimpik hanya dalam tempoh setahun selepas dilantik pengendali negara.

Program paling tersusun dalam tempoh itu ialah penubuhan Skuad Projek 2013 (selama empat tahun).

Selepas raih tangga keempat Piala Dunia Remaja 2013, pasukan itu dibubarkan hingga ramai yang berhenti bermain hoki.

Melihat ke depan, kita hanya mendoakan agar juara benua Afrika, Afrika Selatan tarik diri daripada Olimpik Tokyo dan Malaysia dipilih sebagai pengganti memandangkan dikalangan negara gagal ke Tokyo, negara kita menghuni ranking terbaik dunia (11).

Tetapi banggakah mengharapkan tiket pintu belakang?

KHM akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 16 November ini. Saya yakin hala tuju baru akan dirangka.

Saya harap KHM memilih beberapa individu yang benar-benar arif untuk menyusun semula semua program bermula peringkat akar umbi hingga skuad kebangsaan.

Kita sudah bermain di semua peringkat, Piala Asia, Sukan Komanwel, Sukan Asia, Piala Dunia dan hanya kempunan Sukan Olimpik.

Nampak hanya selangkah lagi tetapi realitinya, hanya negara hoki sejati layak bermain di Sukan Olimpik.  - Oleh Bazly Azmi

* Bazly Azmi kini bertugas di Astro ARENA.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

 


Sila klik di sini untuk layari Stadium Astro



Tag: hoki, India, Malaysia, Piala Dunia, Britain, London, kelayakan Olimpik



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.