Gaji yang diberikan kepada Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim berjumlah RM175,000 sebulan disifatkan wajar dan sejajar dengan pengalamannya.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mempertahankan keputusan kementeriannya sebelum ini kerana reputasi tinggi Teong Kim yang berjaya membentuk pemain kelas dunia di Bayern Munich.

“Gaji Teong Kim adalah mengikut rundingan saya dengan beliau pada tahun 2014. Setelah melihat kepada tanggungjawab beliau yang bukan hanya menjaga pasukan bawah 14 tahun pada waktu itu, tetapi juga keseluruhan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), maka kita buat keputusan bahawa gaji itu adalah munasabah.

“Bagi saya, jika kita mahu seorang yang ada pengalaman seperti pengalaman beliau di Eropah, maka itulah lebih kurang paras gajinya.

"Terserah kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membuat rundingan semula, sama ada meneruskan kontrak beliau atau sebaliknya,” kata Khairy Jamaluddin.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan pihaknya tidak memecat Teong Kim daripada jawatannya sebagai Pengarah AMD pada 29 September lalu.

Walaubagaimanapun, beliau berkata, kontrak Teong Kim selaku Pengarah AMD dan ketua jurulatih bagi NFDP akan dinilai semula selepas skuad B-16 negara gagal layak ke Piala Dunia Bawah 17 (B-17) di Peru tahun hadapan.