Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengakui menerima ratusan permohonan bagi mengisi 'kerusi panas' yang ditinggalkan bekas ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim.

Beliau yang juga Presiden Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata permohonan tersebut bukan sahaja datang daripada jurulatih itu sendiri, malahan ejen jurulatih yang berminat untuk mengendali pasukan naib juara Piala Malaysia musim lalu itu.

"Setakat ini kita terima beratus permohonan daripada jurulatih tempatan dan luar yang berminat membimbing TFC. Bagaimanapun, kita sedang pertimbangkan daripada pelbagai sudut termasuk kemampuan kewangan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program 'Beyond The Moon:50th Anniversary Of Moon Landing, di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) petang Selasa.

Kerusi ketua jurulatih TFC kosong selepas Irfan Bakti yang pernah membawa pasukan itu menjuarai Piala Malaysia pada 2001 meletak jawatan secara mengejut dalam satu mesyuarat khas PBSNT, Rabu lalu.

Ahmad Samsuri berkata PBSNT memberi jaminan bahawa jawatan penting itu akan diisi dan pihaknya sedang memerhati serta mencari calon sesuai sehingga bertemu yang benar-benar layak mengembalikan kegemilangan bola sepak Terengganu.

-- BERNAMA