Harapan peminat setia The Red Warriors (TRW) untuk melihat bintang kesayangan mereka, Muhammed Ghaddar, beraksi dalam Liga Super bermula 21 Januari ini, bakal menjadi kenyataan.

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, mengesahkan penaja utama, redONE, bersedia untuk mengikat bintang Lubnan itu bersama Okiki Afolabi dan Cedric Djuegoue.

Annuar menerusi status terbaharu dalam laman sosial Facebooknya, menjelaskan segala urusan rundingan dan terma kontrak telah selesai dijalankan dan sedia membawa tiga pemain tersebut berdasarkan tiga syarat utama.

“Dipersetujui oleh ketua jurulatih (Zahasmi Ismail), wajib lulus ujian kecergasan yang ketat oleh jurulatih kecergasan dan wajib lulus pemeriksaan kesihatan yang ketat.

“Cedric, Okiki dan Ghaddar sudah dijemput datang untuk bertemu Zahasmi dan akan menjalani ujian,” katanya.

Annuar, yang bertindak selaku penaja utama TRW musim ini, menjelaskan jika tiga pemain ini gagal dalam ujian pemilihan tersebut, beliau masih mempunyai enam lagi calon pilihan.

“Kiranya gagal, ada enam lagi nama lain untuk dipilih oleh ketua jurulatih dan saya dengan redONE menaja mereka untuk memperkuatkan TRW 2017 setakat yang kami mampu,” katanya.

Untuk rekod, dalam status Facebooknya yang terdahulu, Annuar membayangkan akan mencari tiga pemain import berkualiti bagi membantu TRW kekal sebagai pencabar utama Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.