INI cerita mengenai seorang pemain papan selaju dari Kajang, Arina Rahman.

Ramai yang tidak kenal dengan Arina, walaupun sudah lebih 15 tahun bergiat dalam sukan papan selaju dengan menyertai banyak kejohanan di Eropah.

Namanya tidaklah sehebat Pa’din Musa dalam arena papan selaju di Malaysia, namun Pa’din sendiri mengiktiraf kehebatan pemain berusia 28 tahun itu dalam disiplin park skateboarding.

Sejak 2010, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Arina kerap ke Eropah untuk mencapai impiannya menjadi seorang pemain papan selaju profesional, dengan bantuan bapanya.

“Pertama kali saya ke Eropah adalah pada 2010, masa tu bersama dengan Adam Zari. Kami menyertai kejohanan Dark Dog Energy Drink di Malmo, Sweden.” kata Arina.

“Saya masuk (saingan) bowl, Adam masuk street, tiket penerbangan saya dibiayai oleh bapa saya,”

“Seorang pemain profesional Sweden, Jocke Olsson mengajak saya pergi ke Sweden dan meyakinkan bapa saya mengembangkan kerjaya saya di Eropah”

“Olsson pernah tinggal di Malaysia dan rapat dengan bapa saya, dia yang membantu saya untuk menyesuaikan diri di Eropah.”



Dari situ, Arina mula membina hubungan baik dengan para pemain papan selaju profesional di Eropah dan berkelana di Sweden selama enam bulan.

Arina menumpang di sebuah sekolah menengah yang khusus untuk remaja yang berminat dengan papan selaju di Sweden.

Selain mata pelajaran sains dan matematik, Skateboarding School ataupun sekolah papan selaju itu juga mendidik pelajar menerbitkan video dan juga fotografi yang ada kaitan dengan industri papan selaju.

Tidak boleh cari makan dan maju di Malaysia sebagai seorang pemain profesional

Kembali ke Malaysia, Arina yang sudah biasa meraih pendapatan menerusi kejohanan yang dianjurkan di Eropah, berasa bosan kerana tidak boleh mencari rezeki dengan hanya bermain papan selaju di tempat sendiri.

“Saya tidak boleh cari makan sebagai seorang pemain papan selaju di Malaysia kerana tiada kejohanan vert ataupun bowl di sini, jadi saya membuat keputusan untuk bekerja di sebuah pasar raya untuk mengumpul duit ke Eropah pada 2011,”

Di Malaysia, tidak ramai yang mampu bermain vert ataupun bowl selain dua adiknya, kerana tiada kemudahan yang lengkap.

Vert dan bowl yang ada di gelanggang papan selaju pula tidak mengikut piawaian antarabangsa, seperti yang ada di Eropah dan Amerika Syarikat.



“Malaysia takda orang skate bowl, gelanggang yang ada tidak sesuai untuk saya berlatih.”

“Gelanggang yang dibina di Taman Cabaran Putrajaya dan Shah Alam tidak mempunyai radius, ukuran dan coping (binaan pada tepi sebuah bowl/vert) seperti yang digunakan untuk kejohanan di Eropah.”

“Permukaan park di Shah Alam juga adalah amat kasar”

Tambah Arina lagi, cara permainan papan selaju orang Malaysia juga tidak membolehkan mereka maju dalam sukan ini.

“Mereka hanya minat bermain di permukaan yang rata dan tidak menggunakan keseluruhan gelanggang menyebabkan mereka tidak bersedia untuk memasuki kejohanan bertaraf dunia.”

Pada 2011, Arina memenangi salah satu program realiti TV yang membiayainya untuk ke Eropah bagi menyertai kejohanan dan berlatih di sana.

Malangnya Arina terpaksa bermalam di penjara di United Kingdom kerana disyaki mahu bekerja secara haram.

Arina ditahan di lapangan terbang di London semasa transit untuk menyertai kejohanan di Sweden, sebelum dihantar pulang semula ke Malaysia.

Bali dan Singapura spot terbaik

Jika tidak ke Eropah, pendedahan terbaik untuk pemain papan selaju dalam disiplin park adalah di Bali, Indonesia, selain bermain bowl di East Coast Park, Singapura.

“Ramai pemain profesional akan ke Bali dan kemajuan park lebih baik berbanding di Malaysia dengan reka bentuk dan coping yang betul,”

“Kita perlu melihat bagaimana sesuatu trik dilakukan di hadapan mata kita untuk belajar dengan pemain profesional, menontonnya di video sahaja tidak cukup, sebab itu saya perlu ke Eropah dan paling dekat Bali”



Top 10 atlet di Asia, namun tidak dipilih mewakili Malaysia

Arina boleh dikatakan top 10 park skater di Asia dan sayang sekali dia tidak mewakili negara pada Sukan Asia 2018 di Indonesia.

“Saya diajak untuk memasuki kejohanan pemilihan wakil Malaysia ke Sukan Asia 2018 namun saya menolaknya kerana ia diadakan di venue yang tidak sesuai,”

“Kejohanan park tidak sepatutnya dianjurkan di skate park di Mont Kiara seperti yang dianjurkan oleh Persatuan Sukan Ekstrem Malaysia (MESA) tahun lepas,” jelas Arina.

Kelemahan yang wujud dalam pentadbiran badan sukan menyebabkan dia tidak disenaraikan, walaupun benar-benar layak.

Ini merupakan satu kerugian yang besar kerana seminggu sebelum Sukan Asia, Arina menyertai kejohanan kelayakan peringkat Asia Vans Park Series (VPS) di Singapura.

Arina mendapat tempat keenam dalam kejohanan itu, mengatasi dua peluncur Indonesia yang mendapat perak dan gangsa di Sukan Asia Indonesia 2018, Jason Lijnzaat dan Pevi Pramana.

Lebih menakjubkan, Arina mengutip 62.48 mata, jauh meninggalkan kutipan mata Jason di tempat ketujuh, 50.41 mata dan Pevi di tempat kesembilan.

Ini membuktikan Arina mampu membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa di Sukan Asia 2018.


Arina kini menjalani program kelayakan Olimpik Tokyo 2020 tajaan Vans, syarikat pakaian Amerika Syarikat bersama dengan Persekutuan Sukan Luncur Beroda Malaysia (MYSKATE).

Dia akan ke Eropah pada Ahad untuk menyertai Mystic Cup 2019 di Prague, Republik Czech sebagai persediaan untuk menyertai World Roller Games di Barcelona, Sepanyol pada 3 Julai dan Nanjing, China pada 13 Julai.

Program ini juga adalah persediaan Arina untuk mewakili Malaysia ke Sukan SEA Filipina 2019 di bawah MYSKATE.

Pendedahan di Barcelona dan juga Vans Park Series di Shanghai Jun lalu, diharap dapat menghasilkan kilauan pingat pertama dari papan selaju di peringkat ASEAN.