Siapa dapat menyangka bahawa hero pada kedua-dua perlawanan antara Jerman dan Perancis serta Brazil dan Colombia merupakan pemain dari posisi pertahanan.

Begitulah yang berlaku apabila Jerman hanya memerlukan satu tandukan kemenangan oleh pemain pertahanan, Mats Hummels pada minit ke-13 separuh masa pertama untuk membawa Bavaria ke separuh akhir dengan menewaskan Perancis 1-0 di saingan suku akhir di Estadio do Maracana di Rio de Janeiro awal pagi tadi.

World CupPemain Perancis, Mamadou Sakho cuba mengawal pemain Jerman, Mats Hummels dalam perlawanan suku akhir kedua-dua pasukan awal pagi Sabtu. - AP Photo/Frank Augstein
Malah, bukan sahaja pemain pertahanan Jerman yang meledak dengan gol tetapi jaringan daripada dua pertahanan Brazil, Thiago Silva dan David Luiz membantu Brazil mengalahkan Colombia 2-1 di Estadio Castelao, Fortaleza.

Dalam perlawanan pertama peringkat suku akhir antara Jerman dan Perancis, kedua-dua pasukan boleh dianggap seimbang dari segi penguasaan bola di mana Perancis yang ketinggalan tetap melakukan beberapa cubaan berbahaya di hadapan gawang gol Jerman.

Mujurlah, penjaga gol Jerman, Manuel Neuer berjaya mengagalkan satu persatu cubaan berbahaya yang dilakukan oleh jentera tengah dan serangan Perancis yang diketuai oleh Karim Benzema, Antoine Griezman, Paul Pogba dan Mathieu Valbuena.

Jurulatih skuad ‘Les Bleus’, Didier Deschamps membuat beberapa perubahan dalam kesebelasan utama apabila tidak menurunkan Olivier Giroud, Moussa Sissoko dan Lucas Digne sebaliknya menggantikan dengan Paul Pogba, Mathieu Valbuena dan Antoine Griezman.

Manakala Joachim Loew pula merehatkan pemain pertahanan, Per Mertesacker dan meletakkan Jerome Boateng di posisinya manakala Sami Khedira mengambil tempat Boateng.

Ternyata asakan demi asakan Perancis banyak mengkucar-kacirkan pertahanan Jerman namun hasil daripada satu sepakan percuma oleh Toni Kroos, pemain pertahanan Mats Hummels berjaya melompat melepasi halangan pertahanan Perancis Raphael Varane untuk menanduk masuk gol kemenangan Jerman.

Berbagai-bagai percubaan dilakukan selepas itu namun gagal membuahkan gol kepada kedua-dua pasukan dan keputusan kekal hingga wisel penamat.

Sementara itu, dua gol daripada Thiago Silva dan David Luiz sudah cukup untuk membawa Brazil mara ke peringkat separuh akhir setelah membenam cabaran Colombia 2-1 dalam perlawanan ‘derby Amerika Selatan’ di Fortaleza.

World Cup
Neymar (kanan) terbaring kesakitan ekoran dikasari pada minit ke-88 perlawanan. - AP Photo/Manu Fernandez

Kemenangan tersebut bagaimanapun terpaksa dibayar dengan harga yang tinggi apabila Brazil kehilangan tonggak utamanya, Neymar yang diusung keluar setelah mengalami kecederaan ketika bertembung dengan pemain Colombia, Juan Zuniga dalam usaha untuk merebut bola di udara.

Selain itu, ketua pasukan, Thiago Silva turut terlepas perlawanan separuh akhir menentang Jerman apabila digantung satu perlawanan setelah mengutip dua kad kuning.

Colombia bagaikan hilang punca dan segala pergerakan mereka terutama pendahulu penjaring terbanyak setakat ini, James Rodriguez berjaya disekat oleh pertahanan Brazil.

Namun, Colombia yang tercari-cari gol semangat untuk mengejar kedudukan Brazil berjaya merapatkan kedudukan apabila dihadiahkan sepakan penalti setelah pemain gantian Colombia, Carlos Bacca dijatuhkan oleh penjaga gawang Brazil, Julio Cesar.

Rodriguez tenang menyempurnakan sepakan penalti menewaskan Cesar dan gol tersebut merupakan gol keenam Rodriguez sepanjang kempen Piala Dunia ini.

Gol itu bagaimanapun agak terlewat buat Colombia untuk meneruskan aksi di Piala Dunia kali ini.

Brazil akan bertemu Jerman pada Rabu hadapan di Estadio Mineiro di Belo Horizonte.

PEMAIN PILIHAN ASTRO AWANI: Andre Schurrle (Jerman) dan David Luiz (Brazil)