Jaringan sulung Wayne Rooney selepas tiga penampilan Piala Dunia buatnya gagal membantu England apabila tewas 1-2 kepada Uruguay dalam perlawanan Kumpulan D di Arena Corinthians awal pagi tadi.

Uruguay yang diperkuatkan oleh penyerang Liverpool, Luis Suarez sekali lagi menjadi igauan buat penyokong England apabila meledak dengan dua jaringan sekaligus memberi Uruguay tiga mata berharga.

Meski deretan peluang terhidang buat England namun penyudah yang longgar merencatkan lagi peluang England untuk beroleh gol berharga sementara Uruguay memanfaatkan kealpaan benteng pertahanan England untuk jaringan gol kemenangan.

Luiz Suarez
Sepakan Luis Suarez (kanan) melepasi jangkauan penjaga gol England Joe Hart - EPA/TOLGA

Dengan kekalahan ini, England terperosok ke dasar kedudukan Kumpulan D dan cabaran Piala Dunia buat England semakin tipis meskipun mereka akan bertemu Costa Rica pada perlawanan terakhir kumpulan pada 25 Jun ini.

Sementara itu dalam perlawanan Kumpulan C, Colombia menjadi pasukan ketiga mengiringi Belanda dan Chile layak ke pusingan kedua Piala Dunia 2014 selepas menewaskan Ivory Coast dengan kemenangan tipis 2-1.

Namun gol yang dicari Colombia hanya muncul minit ke-64 melalui James Rodriguez sebelum Juan Quintero menambah keceriaan di kem pasukan itu dengan jaringan kedua enam minit selepas itu.

Ivory Coast memperoleh memperoleh gol saguhati menerusi Gervinho.

PEMAIN PILIHAN ASTRO AWANI: Luis Suarez (Uruguay) dan James Rodriguez (Colombia).