GRAND PRIX Amerika Syarikat dan Brazil mungkin tidak dapat berlangsung susulan peningkatan mendadak kes COVID-19 di kedua-dua negara itu.

Peneraju Mercedes F1 Toto Wolff berkata perlumbaan di Amerika, Mexico dan Brazil dijadual berlangsung secara berturut-turut pada penghujung Oktober dan November.

"Melihat kepada keadaan di negara-negara tersebut ketika ini, tak mungkin kita akan pergi ke sana," katanya, menurut laporan BBC pada Jumaat.

Formula One masih berharap agar dapat melangsungkan antara 15 dan 18 perlumbaan sepanjang tahun ini.

Perlumbaan berkenaan bakal berlangsung di Austin, Texas dan Sao Paolo, Brazil.

Kalender Formula One kini menyaksikan hanya lapan perlumbaan tersenarai - kesemuanya di Eropah yang berlangsung dalam tempoh 10 minggu akan datang.

Kini, Formula One sedang giat bekerja untuk menyenaraikan fasa berikutnya.

Grand Prix Kanada di Montreal berlangsung pada bulan September.

Shanghai pula bakal melangsungkan dua perlumbaan.

Di Asia Barat pula, Formula One mempunyai cadangan untuk menyelesaikan perlumbaan di Bahrain dan Abu Dhabi.