Harga tiket perlawanan bola sepak di Stadium Bandaraya di sini akan dinaikkan selepas 1 April selaras dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) Mohd Azizudin Mohd Shariff berkata tiket tempat duduk berbumbung dewasa akan dijual pada harga RM22 berbanding RM20, manakala bagi kanak-kanak RM11 dari RM10 sebelum ini.

"Bagi tempat duduk terbuka dewasa dan kanak-kanak kenaikan harga sebanyak RM1 iaitu masing-masing dari RM10 ke RM11 dan RM5 ke RM6," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata harga baharu itu akan mula berkuatkuasa pada aksi Liga Perdana Skuad Harimau Kumbang menentang JDT II Jumaat (3 April) ini.

Mohd Azizudin yang juga Pengurus Pasukan Bola Sepak Pulau Pinang berkata kenaikan itu dijangka tidak memberi kesan yang begitu ketara kepada kehadiran penonton di stadium.

"Kenaikan itu tidak dapat dielak dan FAP hanya mendapat lebihan keuntungan minimum iaitu antara 24 sen dan 54 sen bagi setiap jualan tiket," katanya.