Tutup

Berita  | Sukan

Hafizh Syahrin: Buka buku baharu bersama Angel Nieto Team

Hafizh Syahrin: Buka buku baharu bersama Angel Nieto Team
Hafizh Syahrin bercakap pada sidang media selepas majis minum petang bersama media di The Podium Damansara, Petaling Jaya, 8 Okt, 2019. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Pelumba sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah mahu melupakan episod mengecewakan musim ini, dan kembali memberi saingan pada perlumbaan musim 2020, biarpun beraksi dalam kelas Moto2.

Beliau yang mengesahkan kontrak setahun bersama pasukan Angel Nieta Team, yakin dengan kemampuan dan pengalaman dua musim beraksi dalam kelas MotoGP, beliau akan lebih kompetitif pada saingan Moto2 nanti.
Malah, tiga pilihan utama yang diberikan Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC) Datuk Razlan Razali, turut menjadi perangsang kepada pelumba berusia 25 tahun itu untuk bangkit, pada saingan Moto2 yang memang tidak asing baginya.

"Saya fokus untuk habiskan perlumbaan tahun ini dengan baik dan selamat. Saya sasar (tahun hadapan) untuk lima terbaik keseluruhan. Memang tidak mudah untuk saya katakan meraih podium sentiasa, tapi saya yakin dengan kapasiti dan pengalaman dua tahun di MotoGP, saya akan buat yang terbaik.
"Tiga pilihan yang diberi Datuk Razlan yang saya ambil sebagai motivasi, kalau saya buat yang terbaik untuk Moto2 iaitu lima terbaik, saya akan berada di dalam MotoGP semula.

"Kalau saya pilih jalan untuk tidak teruskan karier dalam sukan permotoran ini, saya akan habiskan karier saya tahun depan. Saya ambil ini sebagai pembakar semangat. Saya akan buktikan kepada rakyat dan peminat, yang saya mampu memberi saingan lagi tahun depan," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Hafizh Syahrin memulakan kariernya sebagai pelumba 'wildcard' pada 2011 sebelum menjadi pelumba sepenuh masa pada 2014 dalam kelas Moto2 dan berjaya menamatkan perlumbaan sebagai 10 pelumba terbaik dengan beberapa kali menaiki podium pada 2016 dan 2017.

Pelumba kelahiran Ampang, Selangor itu muncul pelumba Malaysia pertama bersaing dalam perlumbaan MotoGP pada 2018, apabila menyertai pasukan Yamaha Tech3 Racing.

Bagaimanapun, Hafizh Syahrin terpaksa 'bergelut' pada musim ini selepas bertukar kepada jentera KTM, yang menyaksikan beliau gagal meraih keputusan memberangsangkan, di samping tidak serasi dengan jentera kendaliannya itu.

Pada sidang media Selasa, Hafizh Syahrin mengesahkan beliau akan bersama pasukan Angel Nieto Team dalam kelas Moto2 bersama pelumba Sepanyol, Aron Canet.

Sementara itu, Hafizh Syahrin menjelaskan beliau menandatangani kontrak selama setahun bersama Angel Nieto Team, kerana tidak mahu mengambil risiko dan yakin beliau mampu kembali ke kelas MotoGP musim berikutnya.

"Saya tandatangan dengan Angel Nieto Team selama setahun kerana saya tidak berani mengambil risiko tandatangan selama dua tahun. Saya percaya kepada kapasiti dan tahap motivasi saya.

"Tahun ini, saya mampu untuk berikan yang terbaik di saingan MotoGP, tapi mungkin bukan rezeki saya untuk beraksi terbaik berbanding tahun sebelumnya. Hanya saya yang tahu apa yang saya hadapi dan saya kecewa dengan pakej yang saya ada, serta keputusan saya tahun ini," katanya.

Selepas mengharungi 15 pusingan MotoGP musim 2019, pelumba negara menduduki tempat ke-24 selepas mengutip tujuh mata keseluruhan. Pada musim lepas Hafizh Syahrin di kedudukan ke-16 dengan 46 mata selepas menamatkan musim 2018.

Hafizh Syahrin akan meneruskan perlumbaan di GP Jepun (18-20 Okt) dan GP Australia (25-27 Okt) sebelum beraksi di hadapan peminat sukan permotoran tanah air pada 1-3 Nov depan.

-- BERNAMA