PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, bertekad akan menampilkan aksi terbaik apabila turun beraksi dalam GP Malaysia di Sepang pada minggu ini walaupun membawa bekalan mata yang kurang berbanding tahun lalu.

Hafizh kini mengumpul 86 mata dan berada di kedudukan ke-11 keseluruhan selepas mengharungi 17 perlumbaan musim ini, kekurangan 18 mata berbanding saingan pada tahun lalu di peringkat sama.

Dia yang bakal meninggalkan pasukannya, Petronas Raceline Malaysia, pada akhir musim ini telah menarik perhatian ramai susulan kejayaannya menaiki podium sebanyak dua kali, iaitu ketika GP San Marino dan GP Jepun.

Beraksi di laman sendiri, pelumba berusia 23 tahun itu berikrar akan memastikan harapan semua rakyat Malaysia terhadapnya akan cuba dicapai, disamping memberikan hadiah terakhir buat Petronas sebelum berpisah.

“Segala persiapan tetap sama, cuma saya tingkatkan cara latihan dan juga fizikal. Saya rasa lebih bagus pada tahun ini.

“Alhamdulillah, selepas separuh musim pada tahun 2017, ia ternyata lebih baik berbanding tahun lalu. Cuma kali ini, saya datang ke litar di tempat sendiri membawa mata yang kurang jika dibandingkan sebelum ini.

“Tahun lalu saya datang ke Sepang membawa 104 mata tetapi pada tahun ini saya hanya membawa 86 dan berada di tempat ke-11. Apapun, saya akan cuba lakukan yang terbaik,” ujar Hafizh Syahrin.

Dalam masa sama, dia juga tidak dapat menyembunyikan kesedihannya apabila bakal berpisah dengan pasukan Petronas setelah bersama selama 10 tahun.

“Tidak dinafikan saya berasa sedih kerana perlu berpisah dengan pasukan tetapi ia dilakukan demi kebaikan masa depan saya. Saya terpaksa tinggalkan mereka, namun mereka tetap sebahagian daripada keluarga saya.”