PELUMBA F1 Mercedes, Lewis Hamilton, menamatkan badi di GP Monaco apabila muncul juara buat kali pertama musim ini dalam perlumbaan yang dibayangi insiden kemalangan.

Lapan tahun lalu merupakan kali terakhir Hamilton muncul juara di Monaco dan kali ini pelumba kelahiran England itu mempamerkan pemanduan mantap untuk mengetepikan cabaran Daniel Ricciardo yang menduduki tempat kedua dan Sergio Perez ketiga.

Tempat pertama sepatutnya menjadi milik Ricciardo, namun pelumba Red Bull itu melalui hentian pit yang kelam kabut, sekali gus membuka ruang buat Hamilton merampas kedudukan pendahulu.

Ricciardo berpeluang untuk memintas pada pusingan ke-37 tetapi Hamilton berjaya menutup ruang di selekoh Mirabeu, sekali gus mencetuskan kemarahan Ricciardo yang jelas menggawangkan tangannya ke arah pelumba Mercedes itu.

Kemenangan Hamilton turut merapatkan jurang dengan pendahulu kejuaraan, Nico Rosberg, dengan 24 mata tatkala pelumba Jerman itu sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.

Sementara itu, juara dunia empat kali, Sebastien Vettel, terpaksa berpuas hati dengan tempat keempat selepas gagal memintas Perez.