Keupayaan skuad bola sepak kebangsaan untuk mempertahankan Piala AFF Suzuki yang akan bermula Sabtu ini, terus menjadi persoalan kepada penyokong apabila sekadar seri 1-1 dengan Bangladesh pada
perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam semalam.

Ini adalah kali kedua skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal itu mencatat keputusan seri bulan ini. Pada 14 Nov lepas Harimau Malaya seri 1-1 dengan Hong Kong ketika bertemu di Stadium Shah Alam.

Pada perlawanan malam ini, Harimau Malaya memulakan asakan ke kubu pasukan ke-171 dunia itu sebaik wisel permainan ditiup pengadil Nagor Noor Amir Noor Mohamed.

Hasilnya mereka mendahului pada minit ke-21 menerusi tandukan kencang Mohd Khyrill Muhymeen Zambri yang menerima sepakan sudut daripada ketua pasukan Safiq Rahim.

Bersambung babak kedua, Rajagobal membuat beberapa pertukaran termasuk menggantikan Mohd Safee Mohd Sali dan Norshahrul Idlan Talaha dengan Mohamad Zaquan Abdul Radzak dan Baddrol Bakhtiar bagi mempertajamkan barisan serangan namun gagal mencari gol tambahan.

Bangladesh di bawah bimbingan jurulatih A.K.M Saiful Bari Titu yang sekali-sekala melakukan asakan mengejutkan tuan rumah dengan gol penyamaan pada minit ke-82 hasil sepakan penalti yang disempurnakan Md Jahid Hasan Ameli.

Sepakan itu diberi pengadil selepas pemain Bangladesh, Mithun Chowdhry dijatuhkan oleh pemain pertahanan negara, Irwan Fadzli Idrus di dalam kotak penalti.

Skuad Harimau Malaya yang diundi dalam Kumpulan B pada edisi Piala AFF Suzuki kali ini bakal menentang Singapura pada 25 Nov ini, berdepan Laos pada 28 Nov sebelum menamatkan aksi kumpulan dengan menentang naib juara edisi lepas iaitu Indonesia pada 1 Dis ini.

Kesemua perlawanan akan berlangsung di stadium yang sama.

Barisan pemain:

MALAYSIA: Mohd Farizal Marlias, Mohd Bunyamin Umar, Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak, Muhammad Zubir Mohd Azmi (Irwan Fadzli Idrus), Mohamad Fadhli Mohd Shas, Safiq Rahim (kapten) (Mohd Shakir Saari), Amar Rohidan, S. Kunalan (Ahmad Hazwan Bakri), Mohd Khyrill Muhymeen Zambri, Norshahrul Idlan Talaha (Baddrol Bakhtiar), Mohd Safee Mohd Sali (Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak).

BANGLADESH: Mamun Khan, Sujan (kapten), Pranotosh Kumer Das, Md Mamun Miah, Shakil Ahmed (Abdul Baten Mojumder Komal), Md Jahid Hasan Ameli (Md Razau Karim), Md Mamunul Islam Mamun, Md Zahid Hossain (Mithun Chowdhry), Atikur Rahaman Meshu, Mohammad Nasir Uddin Chowhur, Md Waly Faisal.