Penyerang berbisa Tottenham Hotspur, Harry Kane, dinamakan sebagai kapten pasukan England bagi menghadapi saingan Piala Dunia 2018 di Rusia, Jun depan.

Pengurus pasukan England, Gareth Southgate, melantik Kane sebagai ketua pasukan kerana mempunyai kualiti kepimpinan yang tinggi.

“Beliau merupakan seorang pemain yang profesional dan perkara paling penting untuk menjadi seorang kapten ialah, mereka boleh mengekalkan kualiti setiap hari,” kata beliau seperti yang dipetik di akaun rasmi England di Twitter.

Jawatan kapten pasukan sering kali bertukar apabila Wayne Rooney tidak lagi bersama skuad kebangsaan dan Harry Kane merupakan antara pemain pilihan diberi lilitan kapten.

Beliau telah membuat 23 penampilan bersama England, menjaringkan 12 gol, dan menjadi kapten untuk pasukan itu sebanyak empat kali ketika di bawah bimbingan Southgate.

Bagi musim ini pula, Kane telah menjaringkan 41 gol bagi semua pertandingan.

“Lantikan ini satu penghormatan kepada saya. Ketika kecil anda sering mengimpikan untuk mewakili England.

“Saya tidak sabar untuk menghadapi Piala Dunia dan memimpin pasukan merupakan satu perkara yang amat istimewa,” kata Harry Kane dalam satu video yang dimuat naik di Twitter rasmi pasukan England.

England akan menghadapi dua perlawanan persahabatan menentang Nigeria (2 Jun) dan Costa Rica (7 Jun) serta bakal memulakan kempen Piala Dunia pada 18 Jun menentang Tunisia.