KEHIUPAN profesional di luar padang menjadikan pemilihan Harry Kane sebagai kapten baru skuad kebangsaan England sesuatu yang tepat, menurut penjaga gol, Tom Heaton.

Penyerang Tottenham Hotspur itu akan menyarung lilitan ketua pasukan dalam aksi di Rusia selepas dipilih menggalas tanggungjawab itu berbanding Jordan Henderson dan Eric Dier.

Pengurus pasukan, Gareth Southgate, memuji kualiti peribadi yang dimiliki penyerang berusia 24 tahun, selepas sebelum ini mengetuai pasukannya sebanyak empat kali.

Manakala Heaton yang merupakan penjaga gol Burnley dan salah seorang pemain yang berada dalam senarai kecemasan buat skuad The Three Lions turut memuji dedikasi pemain itu terhadap tahap tertinggi.

"Saya rasa Kane telah membuatkan saya kagum dengan tahap profesional yang ditampilkan, disiplin yang bagus dan dia bercita-cita besar," kata Heaton.

"Apa yang dilakukan di atas padang adalah untuk dirinya sendiri, rekod yang dipecahkan, jaringan yang dihasilkan, tetapi saya benar-benar teruja dengannya sebagai seorang pemuda yang membuktikan dirinya selaku calon tepat."

Kane menuju ke Rusia sebagai salah seorang pilihan utama Southgate setelah menjaringkan 30 gol pada musim ini.

Heaton menyifatkan penyerang utama itu sebagai kunci utama buat England dalam kempen kali ini.

"Jika dia mampu menjaringkan gol, saya yakin ia akan memberikan sumbangan besar buat kami.

"Lebih-lebih lagi di pentas antarabangsa. Apabila anda mencipta gol, anda bakal memberikan peluang yang baik buat semua.

"Saya dapati perlawanan antarabangsa sering hadir dalam keadaan getir, jadi kelebihan akan diraih sekiranya Kane mampu mencetuskan sentuhan ajaibnya."