PERANCANG tengah Arsenal, Henrikh Mkhitaryan, bakal direhatkan selama enam minggu susulan mengalami kecederaan patah pada kaki kanannya.

Pemain kebangsaan Armenia itu telah digantikan pada rehat separuh masa ketika Arsenal tewas 2-0 dalam saingan suku akhir Piala Liga kepada Tottenham Hotspur di Emirates, 19 Dis lalu.

Mkhitaryan menerima rawatan selepas diterjah Lucas Moura pada minit ke-30 sebelum dikeluarkan selepas tamat 45 minit pertama perlawanan.

Bagaimanapun, dia direhatkan ketika The Gunners merakamkan kemenangan 3-1 ke atas Burnley pada Sabtu dan kekal diketepikan hingga Februari.

Mkhitaryan bakal terlepas aksi berdepan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool dan Chelsea, manakala pertemuan berdepan Manchester City pada 3 Februari dijangka terlalu awal untuk dia diturunkan.