Bekas penyerang Perancis, Thierry Henry, menyifatkan bintang Barcelona, Lionel Messi, sebagai seseorang yang tidak akan dapat digantikan dan memberikan persamaan Messi dan potret Mona Lisa di Louvre, Perancis.

Baru-baru ini, Messi telah memperbaharui kontraknya sehingga tahun 2021 dengan gaji dipercayai sekitar GBP500,000 (RM2.7 juta) seminggu hingga membuatkan ramai menjangkakan Messi bakal menamatkan kariernya bersama Barca.

Pemain Argentina itu telah berkembang menjadi salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman dan Henry, yang telah bersama Barca dari tahun 2007 hingga 2010, menyifatkan Messi tiada galang gantinya.

Dia turut menyamakan kewujudan Messi dengan karya agung milik Leonardo Da Vinci, iaitu potret Mona Lisa.

Ketika ditanya mengenai sama ada Messi mampu digantikan pada tahun-tahun akan datang, Henry dengan pantas menjawab dengan soalan yang lain.

“Anda rasa potret Mona Lisa mampu digantikan di Louvre?” soal Henry.