Pengurus Argentina, Jorge Sampaoli, memuji Gonzalo Higuain selepas menambat kembali hatinya untuk menyenaraikan penyerang Juventus itu menjelang aksi persahabatan bertemu Itali dan Sepanyol, bulan ini.

Tempat di jentera serangan skuad Albiceleste menjadi rebutan tatkala nama Lionel Messi dan Sergio Aguero tampak terjamin, namun Paulo Dybala dan Mauro Icardi gagal meraih minat Sampaoli pada kali ini.

Higuain kini bersedia untuk menyarung jersi kebangsaan buat pertama kali sejak Jun, walaupun dia kini terpaksa berehat akibat kecederaan buku lali.

"Setakat ini, apa yang saya lihat Higuain telah semakin matang dan dia meyakinkan saya. Kami memerlukan pemain yang mampu membawa cabaran kami di Piala Dunia," kata Sampaoli.

"Dybala, Alejandro Gomez (Atalanta) dan Icardi adalah antara pemain yang kami kenali. Kami mahu melihat aksi yang lain untuk melakukan perbandingan. Dua perlawanan ini tidak akan menjamin apa-apa.

"Sudah pasti Dybala adalah pemain yang bernilai. Dia baru pulih daripada kecederaan dan itu adalah penilaian untuknya bersama kelab, bukan bersama skuad kebangsaan."

Dalam masa sama, Sampaoli juga percaya 80 peratus daripada pasukannya untuk menghadapi aksi Piala Dunia telah dipilih, namun menyifatkan baki slot yang ada lebih sukar.

Antara pemain lain yang turut menarik perhatian pengendali itu adalah dua wakil daripada Boca Juniors, iaitu bekas pemain tengah Real Madrid, Fernando Gago, yang mempamer aksi memukau selepas pulih daripada kecederaan lutut, sementara Carlos Tevez mencatat tiga jaringan dalam lima penampilan.

Skuad penuh Argentina untuk aksi persahabatan 24 dan 28 Mac 2018

Penjaga gol: Sergio Romero, Willy Caballero, Nahuel Guzman
Pertahanan: Marcos Rojo, Funes Mori, Federico Fazio, Marcos Acuna, Eduardo Salvio, Nicolas Otamendi, Nicolas Tagilifiaco, Gabriel Mercado
Tengah: Javier Mascherano, Leandro Paredes, Manuel Lanzini, Giovanni Lo Celso, Lucas Biglia, Ever Banega, Angel Di Maria
Penyerang: Gonzalo Higuain, Lionel Messi, Sergio Aguero, Diego Perotti