Berita  | Sukan

Hoki: Malaysia di tempat ketiga Siri Final Wanita FIH

Hoki: Malaysia di tempat ketiga Siri Final Wanita FIH
Impian skuad wanita Malaysia untuk layak ke Sukan Olimpik buat kali pertama, tidak kesampaian selepas tewas di tangan Korea Selatan di peringkat separuh akhir. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Skuad Hoki Wanita negara mengakhiri kempen Kejohanan Siri Final Wanita FIH di tempat ketiga selepas menewaskan Republik Czech 3-0 di Kelab Hoki Banbridge, Ireland, pada Ahad.

Dalam perlawanan play off tempat ketiga dan keempat, penyerang Hanis Nadiah Onn meletakkan Malaysia di hadapan menerusi jaringan padang pada minit ke-11, sebelum Fazilla Sylvester Silin menggandakan jaringan pada minit ke-34 ke atas Republik Czech yang menduduki ranking ke-19 dunia.

Malaysia yang di kedudukan ke-22 dunia, mendapat gol ketiga setelah Nur Amirah Shakirah Zulkifli menerima hantaran Nor Faizah Sayuti dan melepasi penjaga gawang Barbora Cechakova sebelum memukul bola menerjah jaring pada minit ke-60.
BACA: Impian ke Olimpik buat pertama kali berkecai

Impian skuad wanita Malaysia untuk layak ke Sukan Olimpik buat kali pertama, tidak kesampaian selepas pasukan bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah tewas 0-3 kepada pasukan nombor 11 dunia, Korea Selatan dalam perlawanan separuh akhir semalam.

Republik Czech pula tersingkir selepas tumpas 0-4 di tangan pasukan nombor lapan dunia, Ireland dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Hanya pasukan yang mara ke final, Ireland dan Korea Selatan melangkah ke pusingan kelayakan terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan berlangsung pada Oktober dan November tahun ini.

-- BERNAMA

Tag: Malaysia, wanita, hoki, sukan, Olimpik, Korea Selatan, Republik Czech, Siri FIH, kelayakan Olimpik


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.