Malaysia menghalang sementara impian Korea Selatan merebut slot Piala Dunia 2018 apabila mengalahkan juara bertahan itu 2-1 pada perlawanan kedua Kumpulan B Kejohanan Hoki Piala Asia 2017 di Stadium Kebangsaan Maulana Bhashani di Dhaka, malam ini.

Kemenangan tipis itu membolehkan Malaysia mengungguli kumpulan dengan enam mata selepas membuka kempen dengan membelasah China 7-1 manakala Korea Selatan membenam Oman 7-2 pada perlawanan pertama.

Biarpun dianggap perlawanan sukar, pendekatan corak serangan yang diguna pakai oleh jurulatih negara, Stephen van Huizen terbukti berhasil apabila Malaysia memperoleh jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada perlawanan babak pertama.

Malah, skuad negara terkejut apabila Korea Selatan tampil berwaspada dan lebih tertumpu di bahagian tengah, sekali gus memberi peluang kepada Malaysia mengatur serangan serta mendapat peluang percubaan pukulan sudut penalti.

Penyerang negara, Faizal Saari berjaya menggegarkan gawang pihak lawan pada minit ke-17 sebelum Muhammad Azri Hassan menggandakan gol Malaysian Tigers dua minit selepas itu.

Tersentak dengan dua jaringan dalam tempoh tiga minit itu, Korea Selatan bangkit semula sebelum Lee Seung-hoon merapatkan jurang jaringan menerusi gol padang pada minit ke-26.

Namun usaha juara empat kali Piala Asia itu untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-42 berjaya dihalang oleh penjaga gol negara, S. Kumar yang bertindak cemerlang menyelamatkan keadaan sepanjang perlawanan itu.

Korea Selatan berada dalam keadaan terdesak kerana kejohanan ini merupakan peluang terakhir slot Piala Dunia selepas India, Malaysia dan Pakistan sudah layak untuk pusingan akhir Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India dari 24 Nov hingga 16 Dis tahun depan.

Mengikut format Piala Asia, dua pasukan teratas dalam kumpulan akan mara ke kumpulan 'Super Fours' manakala dua pasukan terbawah dalam kumpulan akan diletakkan dalam satu kumpulan untuk menentukan kedudukan kelima hingga kelapan.

Dalam kumpulan 'Super Fours', pasukan akan bersaing secara liga sepusingan dengan dua pasukan teratas akan mara ke final.

-- BERNAMA