Malaysia mengikat Korea Selatan 1-1 dalam perlawanan kelima Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia di Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan malam tadi, dengan Muhammad Razie Abdul Rahim muncul wira menyelamatkan maruah negara apabila menjaringkan gol penyamaan.

Sehingga suku kedua, perlawanan berlangsung seimbang selepas kedua-dua pasukan berbalas serangan untuk mencari jaringan pembukaan.

Korea Selatan memecah kebuntuan menerusi Jeong Jun Woo yang bijak memanfaatkan kesilapan benteng pertahanan negara pada minit ke-37 menerusi jaringan padang.

Malaysia berusaha keras untuk mencari jaringan penyamaan dalam suku terakhir tetapi benteng pertahanan Korea Selatan begitu ampuh menyekat percubaan demi percubaan yang dilakukan skuad negara.

Malaysia, bagaimanapun, dihadiahkan pukulan sudut penalti dalam perlawanan berbaki lima minit. Pakar pukulan sudut penalti negara, Razie, menyumbat masuk gol untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Razie memiliki peluang untuk meletakkan skuad negara di hadapan apabila sekali lagi diberikan pukulan sudut penalti setelah Faizal Saari dikasari di kawasan penalti, malangnya peluang itu gagal disudahkan dengan sempurna dan perlawanan tamat 1-1.

Malaysia kekal menduduki tangga kedua liga selepas mengumpul tiga kemenangan, satu kalah dan satu seri.

Terdahulu, skuad negara menewaskan Pakistan 4-2, China 5-1, Jepun 7-2 sebelum tumpas kepada India 1-2.

Dengan menggunakan format 'round robin', empat pasukan terbaik layak ke peringkat separuh akhir.

Selaku naib juara liga, Malaysia akan menentang pasukan di tempat ketiga, Pakistan, dalam perlawanan separuh akhir, Sabtu ini.

Juara liga, India, akan menentang skuad di kedudukan keempat, Korea Selatan, dalam satu lagi aksi separuh akhir, yang akan turut berlangsung pada hari tersebut.

Juara Trofi Juara-Juara Asia 2016 akan ditentukan dalam perlawanan akhir pada Ahad ini.