DELE Alli mendakwa Tottenham Hotspur sepatutnya menundukkan Chelsea dengan lebih mudah selepas menghasilkan persembahan terhebat ketika menang 3-1 di Wembley, awal pagi tadi.

Alli, Harry Kane dan Son Heung-Min masing-masing meletakkan diri dalam senarai penjaring, sekali gus memberikan kekalahan pertama buat Maurizio Sarri.

Spurs menghadirkan banyak peluang tetapi wujud beberapa aksi daripada penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga, serta penyudah longlai yang menafikan peluang skuad kendalian Mauricio Pochettino itu untuk menang lebih besar.

"Di hari lain, jika kami dapat lebih tajam di depan gol, pastinya ia akan lebih banyak," kata Alli.

"Kami mencipta banyak peluang. Mereka beraksi baik di bawah kendalian pengurus baru dan anda boleh lihat pemain bermain untuknya. Mereka melengkapkan beberapa kemasukan pemain baru yang hebat dan berada di prestasi terbaik.

"Namun, kami pasukan yang terbaik. Ini adalah salah satu perlawanan yang membanggakan. Satu aksi memukau."

Detik istimewa dalam aksi di Wembley itu pastinya jaringan ketiga Spurs di mana ia gerakan solo Heung-Min dari kawasan sendiri sehingga melepasi halangan dua pertahanan dan menewaskan Arrizabalaga untuk mengutip gol ke-50 peribadi bersama Spurs.

"Menjaringkan gol buat Spurs sentiasa membuat saya gembira," ujar Heung-Min.

"Saya mempunyai beberapa peluang untuk menyumbat gol dan sedikit kecewa selepas babak pertama tetapi rakan sepasukan banyak membantu.

"Saya tidak berputus asa dan bermain 90 minit. Sentiasa akan ada peluang lain tetapi saya perlu lebih tajam dalam menjaringkan lebih banyak gol," ujarnya.

Spurs kini naik ke tangga ketiga liga di atas Chelsea dan lima mata di belakang pendahulu, Manchester City.

"Kami tidak hiraukan pasukan lain dan hanya fokus keapda diri sendiri," tambah Heung-Min.

"Kami memberikan aksi terbaik dan cuba melihat di penghujung musim. Kami masih mempunyai musim yang panjang dan akan meneruskan prestsasi ini."