ATLET Paralimpik 400 meter wanita, Siti Nor Iasah Mohd Arifin lebih bersemangat setelah melihat kelibat dua pencabar terbaiknya dari Poland dan Ukraine turut serta dalam Sukan Paralimpik Rio kali ini.

Iasah menegaskan tempoh dua tahun cukup untuk dia melakar kejutan ke atas kedua-dua atlet yang dilabel lebih senior darinya itu.

Kali pertama dan terakhir mereka bertemu di Kejohanan Dunia di Doha dua tahun lalu, Iasah terpaksa akur dengan kelebihan kedua pesaingnya apabila sekadar berpuas hati menerusi kalungan pingat gangsa sahaja.

"Saya tidak menyertai kejohanan di Eropah, jadi saya tidak mengetahui kebolehan sebenar mereka, berdepan atlet dari Poland serta Ukraine ini merupakan antara atlet yang berpengalaman, jadi beraksi di Rio nanti saya akan cuba terbaik," kata Iasah.

Tegas Iasah, dia kini lebih matang, selain pengalaman yang dikutip Iasah tidak menolak kemungkinan, kelebihan musuhnya sejak dua tahun lalu mampu di atasi kali ini.

"Saya bersemangat untuk berdepan mereka kerana menjelang kejohanan kali ini, kami menjalani latihan bersama-sama dan mengenalpasti kebolehan yang mereka miliki."

Apa yang pasti Iasah perlu melepasi peringkat saringan sebelum percaturan sebenar di lakar dalam saingan akhir nanti.