ZLATAN IBRAHIMOVIC tidak sabar untuk turun buat pertama kali mewakili LA Galaxy selepas melengkapkan perpindahan dari Manchester United.

Ibrahimovic menyempurnakan perpindahan ke Liga Bola Sepak Major Amerika Syarikat (MLS) selepas United bersetuju untuk menamatkan kontraknya lebih awal dan dia dijangka mula beraksi ketika menentang Los Angeles FC, awal pagi esok.

Pemain Sweden itu tidak dapat beraksi bagi tahun 2018 kerana kecederaan tetapi dia menyifatkan dirinya kini bersedia untuk bermain dan membantu pasukan.

“Saya boleh bermain. Saya percaya mampu beraksi lebih lama, cuma tidak pasti dengan keadaannya.

“Kami akan bermula satu persatu. Saya tidak datang ke sini untuk satu perlawanan dan ia melibatkan sepenuh musim. Jadi, pengurus mahu saya menyesuaikan diri.

“Jika dia memerlukan saya untuk tempoh 90 minit, saya akan sentiasa bersedia. Saya sudah di sini dan mahu bermain tetapi saya juga hormati keputusan pengurus. Dia adalah ketua,” kata Ibrahimovic.

Pengendali Galaxy, Sigi Schmid, tidak pasti akan menggunakan khidmat Ibrahimovic pada esok tetapi mengalu-alukan kehadirannya.

“Sebagai ketua jurulatih, sudah tentu saya gembira. Ibrahimovic adalah pemain yang saya nantikan kerana dia telah meraih pelbagai pencapaian hebat serta kejuaraan yang banyak,” ujarnya.